Hebat Sangatkah Enjin Nissan Almera Turbo?
Persaingan dalam pasaran sedan segmen-B di Malaysia semakin hangat tahun ini dengan kehadiran dua model yang ditunggu-tunggu iaitu Honda City dan Nissan Almera Turbo.
Sementara Honda Malaysia cuba menarik perhatian pelanggan dengan menawarkan City RS yang mempunyai 253 Nm dari enjin hibrid i-MMD, pengedar rasmi Nissan di Malaysia iaitu Edaran Tan Chong Motor (ETCM) membuat kejutan dengan menawarkan enjin turbo 1.0-liter tiga silinder baharu secara standard dalam barisan model Almera Turbo.
Jadi apa yang menarik tentang enjin tersebut? Dikenali dengan nama kod HR10DET, ia mampu menghasilkan 100 PS dan 152 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Walaupun angka itu tidak begitu mengagumkan jika dibandingkan dengan pesaing terdekatnya, enjin tersebut masih mampu menghasilkan pecutan yang lancar dengan adanya ‘wastegate’ elektrik yang berfungsi mengurangkan kesan ‘turbo lag’.
Bukan itu sahaja, enjin tersebut juga menggunakan teknologi Mirror Bore Coating yang dipinjam dari Nissan GT-R. Teknologi ini tidak menggunakan pelapik silinder, sebaliknya ia menyemburkan besi molten pada permukaan gerek (bore) selinder bagi membentuk satu lapisan salutan besi yang mempunyai kemasan seperti cermin.
Berbanding pelapik selinder enjin yang biasanya setebal 2 mm, teknologi baharu ini menawarkan salutan gerek cermin 0.2mm yang sangat nipis. Ia sekaligus mengurangkan geseran pada bahagian dalaman enjin dan masalah ‘knocking’ serta meningkatkan prestasi penyejukan.
Bercakap tentang penyejukan, enjin ini juga dilengkapi dengan sistem ‘intercooler’ bagi tujuan menyejukkan udara yang dimampatkan oleh pengecas turbo. Ia diletakkan di bahagian hadapan kereta bagi mendapatkan aliran udara yang maksimum.
Dipadankan dengan transmisi XTronic CVT baharu, Almera Turbo dikatakan mampu mencapai tahap penjimatan bahan api mengagumkan iaitu 18.4km/L (5.4L/100km), bersamaan sekitar 650 km dengan satu tangki penuh (35 liter).
Transmisi tersebut dilengkapi dengan sistem D-Step Logic yang membolehkan enjin memecut dengan lancar mengambil kira aspek seperti kelajuan kenderaan dan posisi pedal pendikit bagi menentukan nisbah gear yang ideal. Ia juga mempunyai mod Sport untuk pemanduan yang lebih sporty.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Almera Turbo akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu VL, VLP dan VLT, dengan harga anggaran bermula dari RM8X,XXX hingga RM9X,XXX.
Orang ramai dijemput untuk datang sendiri ke prebiu eksklusif model itu di bilik-bilik pameran terpilih pada hujung minggu ini (26 dan 27 September 2020). Anda juga berpeluang memenangi 15 unit iPhone SE (128GB) bernilai RM2,199 apabila memandu ujinya.
No Comment