Hyundai Tunjuk Teaser Tucson Generasi ke-4
Selepas memperkenalkan Santa Fe facelift pada Jun lalu, Hyundai akan mengemaskini barisan SUV mereka sekali lagi dengan Tucson generasi baharu. Namun sebelum ia didedahkan sepenuhnya pada 15 September ini, syarikat itu telah menyiarkan beberapa gambar teaser bagi memberi bayangan kepada reka bentuk luaran dan dalaman model itu.
Untuk model generasi keempat, Tucson bakal didatangkan dengan gril yang mempunyai elemen trapezoid dengan permukaan seperti batu permata. Lampu nyalaan siang diintegrasikan ke dalam gril tersebut, manakala lampu utama pula berada pada kedudukan lebih rendah pada sudut kiri dan kanan bampar.
Di bahagian sisi, terdapat kemasan krom yang menghiasi tiang belakang, sekaligus menarik perhatian si pemerhati kepada rekaan lampu belakang yang memanjang dengan grafik bersudut tajam. Tucson akan memakai rim aloi berukuran 19 inci bagi melahirkan penampilan yang agresif, manakala pengelap cermin yang tersembunyi membuatkan ia kelihatan bersih dan kemas.
Ruang dalaman atau Interspace seperti yang digelar oleh Hyundai, menampilkan suasana futuristik kluster instrumen digital dan skrin sentuh sistem infotainmen berukuran 10.25 inci yang terletak pada konsol tengah. Antara teknologi yang bakal disertakan termasuklah sistem arahan suara, pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna dan sistem ‘steer-by-wire’.
Menurut Hyundai, Tucson akan menjadi SUV segmen C pertama yang boleh didapati dalam dua saiz berbeza. Versi ‘long wheelbase’ akan ditawarkan untuk pasaran Amerika Syarikat, China dan Korea, manakala versi ‘short wheelbase’ pula untuk pasaran Eropah dan Timur Tengah. Versi yang manakah akan memasuki pasaran Malaysia? Sama-sama kita nantikan.
No Comment