Pam Tayar Dengan Nitrogen – Apakah Kelebihannya?
Anda mungkin pernah mendengar orang berkata bahawa mengepam tayar kereta dengan nitrogen berbanding udara biasa mempunyai banyak kelebihan, terutamanya dari segi prestasi dan kecekapan bahan api. Tetapi sejauh manakah kesahihan dakwaan ini?
Sebelum pergi lebih lanjut, mari kita lihat faktanya terlebih dahulu. Udara termampat yang boleh didapati di mana-mana stesen petrol dan kedai tayar sebenarnya mengandungi 78% nitrogen dan 21% oksigen, manakala selebihnya adalah campuran gas-gas lain dan wap air. Jadi, ada kemungkinan yang perbezaan yang dirasakan tidak begitu ketara apabila anda menukar dari udara biasa kepada nitrogen.
Bagaimanapun, nitrogen sememangnya mempunyai kelebihan tersendiri. Sebab itulah ia digunakan secara meluas dalam bidang sukan permotoran, penerbangan dan juga kenderaan komersial. Pertama sekali, ia lebih baik dalam mengekalkan tekanan tayar kerana ia mempunyai molekul yang lebih besar, bermakna ia tidak meresap keluar dari tayar sepantas udara biasa.
Menurut Chemical & Engineering News, nitrogen mampu memperlahankan kadar kehilangan tekanan udara mampu sebanyak 40%. Namun, ini tidak bermakna anda tidak perlu memeriksaan tekanan udara tayar kereta anda dari masa ke masa.
Pasukan lumba juga mengetahui bahawa nitrogen kurang bertindak balas terhadap perubahan suhu. Seperti yang kita sedia maklum, gas mengembang dalam keadaan suhu tinggi dan mengecut dalam keadaan suhu rendah. Menggunakan nitrogen akan memberikan tekanan yang lebih konsisten semasa dalam perlumbaan. Ini penting kerana perubahan kecil dalam tekanan boleh memberikan kesan yang besar terhadap pengendalian kereta lumba.
Ada sesetengah pihak mendakwa bahawa nitrogen boleh menghalang tayar daripada merekah dan rim daripada berkarat dengan mengehadkan kelembapan di dalam tayar. Ini mungkin benar, memandangkan nitrogen adalah gas lengai, bermaksud ia tidak lebih daripada udara kering dengan oksigen dikeluarkan.
Sebaliknya, udara termampat mengandungi wap air yang boleh mendatangkan mudarat kepada tayar dan rim. Sesiapa sahaja yang pernah menggunakan pemampat udara untuk alat pneumatik di bengkel kereta pasti tahu.
Jadi, ini adalah antara kelebihan menggunakan nitrogen untuk mengepam tayar. Namun, adakah ia cukup untuk menjustifikasikan harga (anda perlu membayar beberapa ringgit bagi untuk mengisi tayar dengan nitrogen) dan usaha untuk mencari kedai tayar yang menyediakan perkhidmatan tersebut? Pada hemat penulis, ianya tidak perlu melainkan anda memandu kereta lumba ke tempat kerja atau memiliki pesawat peribadi. Namun, tidak salah untuk mencuba.
Adakah anda pernah menggunakan nitrogen untuk mengepam tayar kereta anda sebelum ini? Kongsi pendapat dan pengalaman anda di ruang komen.
No Comment