Mercedes-AMG GLB 35 Dilancarkan Pada Harga RM363,136
Selain GLB 200 dan GLB 250, Mercedes-Benz Malaysia turut melancarkan Mercedes-AMG GLB 35 4Matic khususnya untuk mereka yang cintakan kelajuan. Varian berprestasi tinggi ini dijual pada harga RM363,136 selepas pengecualian cukai jualan.
Seperti GLB 250, jentera ini turut dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder namun kuasanya telah ditingkatkan dari 224 hp/350 Nm kepada 306 hp dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan 400 Nm dari 3,000 hingga 4,000 rpm.
Dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan (8G-DCT) dan sistem pacuan semua roda AMG Performance 4Matic, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 5.2 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Sebagai sebahagian daripada pakej AMG, GLB 35 turut dilengkapi dengan sistem suspensi AMG Ride Control dan sistem Dynamic Select yang membolehkan pemandu memilih mod Slippery, Comfort, Sport, Sport+ atau
Individual. Turut disertakan adalah sistem brek berprestasi tinggi AMG dengan angkup berwarna perak.
Dengan pakej AMG Line, model ini menampilkan rekaan bampar hadapan dan belakang yang agresif, gril Panamericana, muncung ekzos bulat berkembar dan rim AMG berukuran 20 inci. Selain itu, ia turut mendapat lampu Multibeam LED dengan ciri Adaptive Highbeam Assist Plus.
Tema sporty diteruskan di dalam menerusi kehadiran kerusi sport yang dibalut upholsteri kulit Artico/mikrofiber Dinamica, tali pinggang keledar berwarna merah, karpet AMG dan trim gentian karbon. Suasana kabin diserikan lagi dengan pakej Light and Sight yang merangkumi sistem pencahayaan ambien.
Kelengkapan lain yang disertakan termasuklah sistem infotainmen MBUX dengan Android Auto dan Apple CarPlay, Mercedes me dan sistem audio Burmester. Sistem keselamatan pula terdiri daripada Active Brake Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Parking Assist with Parktronic, Blindspot Assist, Keyless Go, Pre-Safe System, penunjuk status tali pinggang keledar belakang, kamera undur dan Tyre Pressure Monitoring System.
No Comment