Mercedes-Benz G350d Kini di Malaysia
Selain rangkaian model GLB, Mercedes-Benz Malaysia turut sempat melancarkan model kedua dalam barisan G-Class untuk pasaran Malaysia iaitu G350d.
Ia dikuasakan oleh enjin turbodiesel OM 656 berkapasiti 3.0-liter enam silider sebaris yang menghasilkan 286 hp pada 3,400 – 4,600 rpm dan 600 Nm pada 1,200 – 3,200 rpm. Enjin ini dilengkapi dengan pengecas turbo dua peringkat dan sistem pemasaan injap berubah-ubah Camtronic.
Dengan transmisi automatik sembilan kelajuan 9G-Tronic dan pacuan empat roda, SUV mewah ini hanya memerlukan 7.4 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j dan boleh memecut sehingga 199 km/j.
Seperti G63, G350d didatangkan dengan pakej AMG Line yang merangkumi rim aloi ringan AMG berukuran 20 inci, serta pakej AMG Night yang memberikan kemasan berwarna gelap pada lampu utama, lampu isyarat membelok dan lampu undur serta warna Obsidian Black pada gril, tayar ganti dan bampar.
Turut disertakan adalah pakej Stainless Steel yang merangkumi material keluli tahan karat pada papan pemijak sisi dan pelapik pintu dan pelapik belakang.
Ruang dalaman pula dihiasi dengan pakej Exclusive berserta upholsteri mikrofiber Dinamica pada bahagian bumbung, upholsteri kulit pada bahagian atas dan bawah papan pemuka, balutan kulit Nappa pada stereng dan tali pinggang keledar berwarna merah. Selain itu, terdapat juga jahitan kontras merah pada tempat duduk, cermin pandang belakang tanpa bingkai dan karpet lantai AMG.
Antara kelengkapan standard yang disertakan adalah Widescreen Cockpit, sistem COMAND Online, Mercedes me, pencahayaan ambien dan sistem audio Burmester.
Sistem keselamatan pula terdiri daripada kamera 360 darjah, Active Brake Assist, Active Distance Assist Distronic, Active Lane Keeping Assist, Attention Assist, Blind Spot Assist, Parking Assist with Parktronic dan Pre-Safe System.
G350d dijual pada harga RM999,888 (harga atas jalan tidak termasuk insurans). Untuk perbandingan, varian G63 yang dilancarkan dua tahun lalu berharga RM1,464,888.
No Comment