MINI Malaysia Lancar 2 Varian Baharu Countryman Sports
MINI Malaysia hari ini melancarkan dua varian baharu Cooper S Countryman Sports. Yang pertama adalah Countryman Sports dengan Blackline Package, yang menampilkan menggantikan trim krom dengan kemasan Piano Black pada gril hadapan, lampu utama, lampu belakang, pemegang pintu dan juga lencana ‘MINI’, ‘Countryman’ dan ‘Cooper S’.
Model ini terhad kepada 38 unit sahaja dan ia ditawarkan pada harga RM243,280.38. Ia boleh didapati dalam warna British Racing Green atau Light White, kedua-duanya dipadankan dengan bumbung berwarna hitam.
Varian satu lagi adalah Countryman Sports dengan bumbung suria panoramik, yang bukan sahaja membolehkan lebih banyak cahaya dan udara segar masuk ke dalam kabin, malah memberikan rasa kebebasan kepada pemandu. Ia dijual pada harga RM247,280.38.
Seperti Countryman Cooper S Sports biasa, kedua-dua varian baharu ini dikuasakan oleh enjin MINI TwinPower Turbo 2.0-liter empat silinder dengan 192 hp dan 280 Nm. Transmisi klac berkembar tujuh kelajuan membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 225 km/j.
Selain itu, antara kelengkapan standard yang disertakan termasuklah material antrasit pada bumbung, kerusi sport yang dibalut upholsteri kulit Cross Punch dalam warna Carbon Black dan kemasan dalaman John Cooper Works berwarna Piano Black.
Dari segi sistem infotainmen, kedua-dua model ini didatangkan dengan skrin navigasi berukuran 8.8 inci dengan kad sim 4G terintegrasi, sistem audio Harman Kardon dengan 12 pembesar suara dan amplifier DSP dan servis MINI Connected.
No Comment