Nissan Almera Turbo Bakal Tawan Hati Pembeli
Nissan Almera generasi terdahulu banyak menerima kritikan daripada pelbagai pihak disebabkan reka bentuknya yang langsung tidak menarik. Namun setelah melihat model penggantinya dengan lebih dekat pada minggu lalu, saya yakin bahawa ia tidak akan menerima nasib yang sama.
Ini kerana rekaan semula yang komprehensif memberikan Almera (ataupun dikenali secara rasmi sebagai Almera Turbo untuk pasaran Malaysia) penampilan yang jauh lebih elegan yang pastinya akan membuatkan pesaingnya tidak senang duduk.
Tiada lagi bentuk luaran yang bulat, ia digantikan dengan badan yang lebih cantik yang direka berdasarkan bahasa reka bentuk ‘Emotional Geometry’ Nissan yang turut merangkumi gril V-motion, lampu LED berbentuk boomerang dan bumbung ‘terapung’ berprofil rendah.
Secara keseluruhannya, ia 70 mm lebih panjang, 45 mm lebih lebar dan 40 mm lebih rendah berbanding model generasi pertama. Tapak rodanya juga telah dipanjangkan sebanyak 20 mm, sekaligus menghasilkan ruang dalaman yang lebih luas.
Bercakap tentang ruang dalaman, kabin Almera menampilkan panel instrumen ‘Gliding Wing’ yang memberikan rasa luas. Bukan itu sahaja, stereng ‘flat bottom’, balutan kulit lembut bersama jahitan berkembar pada papan pemuka, kemasan krom, piano black dan gentian karbon membuatkan sedan ini kelihatan semakin premium.
Ruang kargo belakang seluas 482 liter mampu memuatkan 4 beg golf dan hadir dengan bukaan lebih rendah serta luas untuk lebih mudah diakses. Istimewa untuk pasaran Malaysia, Almera Turbo mempunyai tempat duduk belakang boleh lipat 60:40 sebagai ciri standard yang membolehkan anda membawa barangan yang panjang.
Di bawah hud, enjin turbo 1.0-liter tiga silinder baharu yang menghasilkan 100 PS pada 5,000 rpm dan 152 Nm dari 2,400 hingga 4,000 rpm. Digandingkan dengan transmisi Xtronic CVT dengan D-Step Logic System dan mod Sport, enjin tersebut menawarkan penjimatan bahan api sekitar 18.4 km/l.
Almera Turbo akan dilancarkan pada Oktober tahun ini dengan harga jangkaan dari RM8X,XXX hingga RM9X,XXX. Dengan penambahbaikan teknikal yang menyeluruh dan spesifikasi yang tertinggi di rantau ASEAN, model ini pastinya bakal menawan hati mereka yang sedang mencari sedan segmen B.
No Comment