Pengeluaran Lamborghini Aventador Cecah 10,000 Unit
Lamborghini Aventador memasuki pasaran pada 2011 dan sejak itu, ia telah berkembang menjadi antara supercar V12 yang paling digeruni. Baru-baru ini, model itu melakar kejayaan dengan pengeluaran yang ke-10,000.
Unit yang ke-10,000 itu merupakan Aventador SVJ Roadster dengan warna luaran Grigio Acheso (kelabu) dan Rosso Mimir (merah), dan warna dalaman Rosso Alala (merah) yang dihasilkan oleh divisyen Ad Personam. Ia akan diterbangkan ke pemiliknya di Thailand.
Barisan model Aventador bermula dengan varian LP 700-4 yang menjadi kayu ukur dalam segmen supercar dengan pelbagai teknologi baharu seperti kerangka monocoque gentian karbon yang menggabungkan kokpit, lantai dan bumbung dalam satu struktur.
Selain itu, model tersebut juga hadir dengan enjin V12 baharu yang menghasilkan 700 hp pada 8,250 rpm, sekaligus membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j. Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi ISR yang menjanjikan prestasi penukaran gear yang cepat dan lancar.
Pada November 2012, Lamborghini memperkenalkan versi Roadster. Bumbungnya diperbuat sepenuhnya daripada gentian karbon dan mempunyai dua bahagian dengan berat masing-masing kurang daripada 6 kg.
Di Geneva Motor Show 2012, Aventador J didedahkan dengan rekaan unik tanpa bumbung dan cermin penghadang angin. Empat tahun kemudian, Lamborghini memberi penghormatan kepada Miura dengan model edisi khas Aventador Miura Homage yang terhad kepada 50 unit.
Pada tahun yang sama, Aventador S diperkenalkan dengan ciri aerodinamik baharu, suspensi yang direka semula dan enjin yang lebih berkuasa. Ia menampilkan enjin 6.5-liter V12 yang menjana 740 hp. Selain itu, model ini juga mempunyai ciri kawalan stereng empat roda (four-wheel steering) dan mod pemanduan baharu iaitu EGO.
Kemudian, pada tahun 2018, Lamborghini mempersembahkan model Aventador yang paling ‘hardcore’ iaitu Aventador SVJ (Superveloce Jota). Terhad kepada 900 unit sahaja, ia turut dinobat sebagai jentera produksi terpantas di Nurburgring dengan catatan 6:44.97 minit.
No Comment