Peugeot 5008 Turut Dapat Facelift
Dua hari lalu, Peugeot memperkenalkan 3008 facelift dan kini jenama dari Perancis itu melakukan perkara yang sama versi yang lebih besar iaitu 5008.
Secara umumnya, SUV tiga baris tempat duduk ini menerima penambahbaikan yang sama, termasuk rekaan gril tanpa bingkai, lampu nyalaan siang menegak dan lencana nombor model pada hud.
Masuk ke ruang kabin, anda mungkin tidak membezakan 5008 dengan 3008. Ini kerana model ini juga dilengkapi dengan kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci dan skrin infotainmen 10 inci. Sebagai tambahan, ia juga mempunyai tombol mod pemanduan Normal, Sport dan Eco untuk varian automatik.
Selain itu, terdapat juga sistem kawalan cengkaman Advanced Grip Control dengan mod Normal, Snow, Mud dan Sand.
5008 facelift dilengkapi dengan beberapa ciri bantuan pemandu seperti Night Vision yang mampu mengesan kehadiran pejalan kaki atau binatang pada jarak sehingga 250 meter pada waktu malam, Adaptive Cruise Control dengan fungsi Stop & Go, Lane Position Assist, Automatic Emergency Braking dan Traffic Sign Recognition.
Turut ditawarkan adalah fungsi urut pada tempat duduk, sistem audio Focal, bumbung suria dwi panel dan tailgate bebas tangan.
Pilihan enjin untuk 5008 adalah enjin turbo 1.2-liter tiga silinder (PureTech 130) dan enjin turbo 1.6-liter empat silinder (PureTech 180) untuk petrol. Enjin 1.2-liter didatangkan standard dengan transmisi manual enam kelajuan namun boleh juga didapati dengan transmisi automatik lapan kelajuan seperti enjin 1.6-liter tersebut.
Untuk diesel pula, terdapat enjin 1.5-liter empat silinder (BlueHDi 130) dengan transmisi manual atau automatik, dan enjin 2.0-liter empat silinder (BlueHDi 180) yang hanya boleh didapati dengan transmisi automatik.
No Comment