Prior Design Hasilkan Kit Audi RS2 Coupe
Pada tahun 1994, Audi memperkenalkan jentera RS pertama mereka iaitu RS2 Avant. Model tersebut hanya ditawarkan dalam versi wagon dan seperti yang kita tahu, tidak semua orang meminati bentuk yang seakan ‘kereta mayat’ itu.
Oleh itu, pengeluar kit badan terkenal dari Jerman iaitu Prior Design, dengan kerjasama JP Performance dan Dr. Crazy, telah menghasilkan kit badan RS2 Coupe yang menggunakan model Audi 80 sebagai asas. Ia mengambil masa kira-kira empat bulan untuk disiapkan dan seperti yang boleh dilihat, hasilnya sangat memuaskan hati.
Reka bentuk jentera ini menggabungkan elemen-elemen daripada Audi Quattro, satu lagi jentera Audi bertaraf lagenda, dan model-model RS masa kini. Antaranya adalah dapra hadapan dan belakang yang lebih lebar, rekaan bampar yang agresif serta lubang ambilan udara pada hud.
Di belakang, bampar yang sporty dan spoiler yang tidak begitu menonjol, terdapat juga diffuser dengan empat bilah dan sepasang muncung ekzos besar berbentuk bujur yang merupakan ‘trademark’ jentera RS moden.
Menurut Prior Design, pengeluaran kit badan ini terhad kepada 40 unit sahaja dan setiap pakej dijual pada harga €5,798 (RM28,285). Jika anda memiliki sebuah Audi 80 coupe, inilah masanya untuk menaik taraf kereta anda.
No Comment