Proton X50 Boleh Ditempah Mulai 16 September
Proton X50 sudah mula dihasilkan di kilang pengeluaran baharu di Tanjung Malim yang telah siap dibina pada 2019 dengan kos RM1.2 bilion.
X50 merupakan kenderaan kedua yang dilancarkan hasil dari perkongsian teknologi antara Proton dan Geely selepas X70. Ia bakal ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship.
Dibina di atas platform BMA (B-segment Modular Architecture) yang turut digunakan oleh produk Geely dan Volvo, X50 dua pilihan enjin turbo dan transmisi klac-berkembar (DCT) tujuh kelajuan dengan pacuan roda hadapan.
Varian Standard, Executive dan Premium, mendapat enjin 1.5 Turbo yang menghasilkan 150 PS dan 226 Nm, manakala varian Flagship pula hadir dengan enjin 1.5 TGDi yang mempunyai 177 PS dan 255 Nm.
Dari segi spesifikasi, varian Standard hadir dengan empat beg udara, lampu LED, rim 17 inci, upholsteri fabrik, corong udara belakang, kamera undur dan skrin infotainmen berukuran 8 inci. Varian Executive pula mendapat enam beg udara berserta tambahan upholsteri kulit, lampu automatik dan lampu kabus.
Sementara itu, varian Premium mendapat sistem pemantauan tekanan tayar, rim aloi 18 inci, ciri pelarasan kuasa pada tempat duduk pemandu, skrin infotainmen 10 inci dan kamera 360 darjah. Akhir sekali, varian Flagship dilengkapi dengan sistem bantuan pemandu Advanced Driver Assistance Systems (ADAS), bumbung suria panoramik dan warna dua tona.
Bercakap tentang warna, X50 boleh didapati dalam warna Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ocean Blue, Citric Orange dan Passion Red. Varian Flagship hadir dengan bumbung berwarna hitam.
Proton X50 boleh ditempah mulai esok (16 September 2020) dengan yuran tempahan RM500 sahaja. Bagaimanapun, harga masih belum diumumkan.
No Comment