Senarai Harga Palsu Proton X50 Tersebar Lagi
Awal minggu ini, Proton X50 serba baharu telah dipertontonkan kepada pihak media di kilang Proton di Tanjung Malim. Hampir semua perkara mengenai crossover itu (termasuk varian dan spesifikasi setiap varian) telah didedahkan kecuali harga jualannya.
Mungkin kerana tidak dapat menahan rasa seronok, ada individu yang tidak bertanggungjawab telah menyebarkan senarai harga palsu bagi X50 di media sosial. Senarai tersebut menunjukkan harga jangkaan dari RM75,800 bagi varian Standard 2WD hingga RM103,800 untuk varian tertinggi iaitu ‘Sport Edition 2WD’. Ini bukanlah kali pertama ia berlaku kerana senarai harga yang serupa turut tersebar awal bulan ini.
Untuk menghentikan penyebaran khabar angin ini, Proton telah membuat satu kiriman menerusi laman Facebooknya bagi menegaskan bahawa senarai harga tersebut adalah palsu. Menurut syarikat itu, senarai haraga bagi Proton X50 masih belum dikeluarkan atau didedahkan pada waktu ini. Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mempercayai berita palsu ini dan tunggu pengunguman rasmi dari Proton sendiri.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, X50 akan ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship. Dibina di atas platform B-Segment Modular Architecture (BMA), ia dikuasakan oleh enjin turbo 1.5-liter tiga silinder yang dibangunkan secara bersama oleh Geely dan Volvo.
Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan yang dibangunkan di Pusat Teknologi Kenderaan China Euro (CEVT) di Gothenburg, Sweden. Memacu roda hadapan, transmisi tersebut dikatakan mempunyai kecekapan tertinggi industri iaitu 97%.
Dari segi kuasa, enjin tersebut menghasilkan 150 PS dan 226 Nm dalam tiga varian Standard, Executive dan Premium, manakala varian Flagship mendapat versi TGDi bagi enjin yang sama yang menjana 177 PS dan 255 Nm.
Dari segi kelengkapan pula, varian Standard didatangkan dengan empat beg udara, lampu LED dengan lampu nyalaan siang, rim aloi 17 inci, upholsteri fabrik, corong pendingin hawa belakang, skrin infotainmen 8 inci dan kamera undur. Varian Executive mendapat enam beg udara, stereng kemasan kulit, lampu utama automatik, lampu kabus hadapan dan tempat duduk kulit.
Untuk varian Premium, ia didatangkan dengan tambahan ciri Tyre Pressure Monitoring System, rim aloi 18 inci, ciri pelarasan kuasa tempat duduk pemandu, sistem infotainmen 10 inci dan kamera 360 darjah. Selain enjin lebih berkuasa, varian Flagship turut mendapat warna dua tona untuk bahagian luaran, bumbung suria panoramik dan Advanced Driver Assistance Systems (ADAS).
Walaupun harga masih belum diumumkan, Proton telah membuka tempahan untuk crossover terbaru mereka dengan yuran sebanyak RM500. Anda juga boleh mengundi slogan kegemaran anda untuk model ini di laman web syarikat itu tidak lama lagi.
No Comment