Cyan Racing Hidupkan Semula Volvo P1800
Sebelum kemunculan Jaguar E-Type, Ferrari 250 GTO dan Porsche 911, Volvo telah terlebih dahulu melancarkan kereta sport mereka sendiri iaitu P1800.
Kini, sempena ulang tahun ke-60 model itu, juara bertahan Kejohanan World Touring Car (WTCC) iaitu Cyan Racing telah menghidupkan semula model klasik itu dengan sebuah versi lumba yang dikenali sebagai P1800 Cyan.
Dibangunkan sendiri oleh Cyan Racing, jentera ini dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 420 PS pada 7,000 rpm dan 455 Nm pada 6,000 rpm – enjin sama yang memacu jentera lumba Volvo S60 TC1.
Tugas untuk menyalurkan kuasa diserahkan kepada transmisi manual lima kelajuan Holinger dengan aci pemacu gentian karbon dan ‘limited-slip differential’.
Jentera ini mungkin kelihatan serupa dengan versi asal, namun Cyan Racing telah melebarkan jarak antara roda kiri dan kanan dan memberikannya lengkung roda yang lebih besar. Bukan itu sahaja, badannya diperkukuhkan lagi dengan keluli berkekuatan tinggi dan gentian karbon. Berat keseluruhan jentera ini hanyalah 990 kg.
Sistem suspensi pula terdiri daripada jenis ‘double wishbone’ aluminium pada gandar hadapan dan belakang, dan peredam boleh laras. Sangkar keselamatan titanium turut digunakan.
Selain itu, P1800 Cyan turut dilengkapi dengan cakera brek berukuran 362 mm di hadapan dan 330 mm di belakang, manakala tayar dibekalkan oleh Pirelli P Zero. Menurut Cyan, jentera ini memberikan pengalaman pemanduan yang sebenar tanpa gangguan daripada ciri bantuan pemandu seperti ABS, booster brek dan kawalan kestabilan.
Apa yang menarik, P1800 Cyan bukanlah sekadar kereta konsep kerana Cyan Racing merancang untuk membina beberapa unit untuk mereka yang berminat.
No Comment