Yamaha MT-25 Kini di Malaysia – RM21,500
Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah melancarkan model kedua terkecil dalam siri motosikal ‘naked’ MT iaitu Yamaha MT-25.
Ditawarkan pada harga RM21,500 (tidak termasuk insurans dan pendaftaran), MT-25 dikuasakan oleh enjin DOHC berkapasiti 249 cc, dua silinder selari yang menghasilkan 35.1 PS pada 12,000 rpm dan 23.6 Nm pada 10,000 rpm. Transmisi enam kelajuan ditugaskan untuk menghantar kuasa tersebut ke roda.
Model ini menggunakan kerangka jenis ‘diamond’ yang dipadankan dengan fork teleskopik terbalik dan lengan ayun. Menurut Yamaha, fork tersebut bukan sahaja memberikan keyakinan ketika mengambil selekoh malah sesuai untuk gaya menunggang yang selesa.
Selain itu, ia turut didatangkan dengan lampu LED, lampu isyarat LED dengan fungsi lampu kecemasan (hazard light), panel meter LCD dan ABS pada tayar hadapan dan belakang. Ia juga mempunyai tangki bahan api sebesar 14 liter.
MT-25 boleh didapati dalam dua warna iaitu Ice Fluo dan Yamaha Blue. Setiap pembelian didatangkan dengan rantai kunci pewter First Edition MT Series daripada Royal Selangor.
Pada majlis pelancaran model ini, HLYM turut sempat mempratontonkan ‘adik’ kepada MT-25 iaitu MT-15. Menurut syarikat itu, model 150 cc itu akan memasuki pasaran Malaysia pada November depan.
No Comment