Sanggupkah Anda Bayar RM199k Untuk Aston Martin Cygnet Ini?
Sebut sahaja nama Aston Martin, akan muncul di benak fikiran nama-nama model yang ikonik seperti DB5, V8 Vantage, DB7, DB9, DBS dan Rapide. Namun, masihkah anda ingat lagi tentang model yang dikenali sebagai Cygnet?
Diperkenalkan pada 2011, Cygnet bukanlah model yang dibangunkan sendiri oleh Aston Martin sebaliknya ia direbadge dari Toyota iQ. Ia dihasilkan bagi membolehkan Aston Martin mematuhi piawaian emisi yang ditetapkan oleh Kesatuan Eropah pada waktu itu.
Walaupun pada asalnya 4,000 unit dirancang untuk produksi, hanya 300 unit Cygnet yang pernah keluar dari kilang Aston Martin di Gaydon. Dan kini, anda berpeluang untuk memiliki salah satu daripadanya.
Unit yang dijual oleh Aston Martin Works di Buckinghamshire di UK ini hanya mempunyai perbatuan sejauh 12,000 batu (19,312 km). Ia didatangkan dalam warna Tungsten Silver manakala bahagian dalamannya menampilkan upholsteri kulit berwarna Bitter Chocolate yang dihiasi dengan jahitan kontras. Ciri-ciri lain yang terdapat pada kereta kecil ini termasuk rim 16 inci, sensor parkir, dan sistem nagivasi satelit.
Walaupun rekaannya diinspirasikan oleh supercar Aston Martin, Cygnet kekal dengan enjin 1.3-liter empat silinder Toyota yang menghasilkan 97 hp. Enjin tersebut dipadankan dengan CVT. Syarikat itu pernah menghasilkan Cygnet dengan enjin V8 namun ia hanyalah model ‘one off’.
Ketika ia diperkenalkan, Cygnet mengundang pelbagai reaksi negatif namun tidak dinafikan ia mempunyai daya tarikan yang tersendiri terutamanya bagi mereka yang mahukan kelainan.
Bagaimanapun, anda mungkin akan berfikir dua kali kerana unit terpakai ini ditawarkan pada harga £36,950 (RM199,150), iaitu lebih tinggi berbanding harganya ketika baru iaitu £31,000 (RM167,040). Ini belum termasuk lagi kos untuk membawanya pulang ke Malaysia.
No Comment