Audi A3 Sportback 40 TFSI e Tawar Pemanduan Elektrik Sejauh 78 km
Audi telah memperkenalkan varian hibrid plug-in bagi model A3 Sportback. Dikenali sebagai 40 TFSI e, varian tersebut akan dilancarkan di Jerman bermula hujung tahun ini pada harga EUR37,470 (RM182,930).
Nadi ‘PHEV’ ini adalah enjin TFSI 1.4-liter empat silinder yang menghasilkan 150 PS dan 250 Nm. Ia dipadankan dengan motor elektrik yang menjana 80 kW dan 330 Nm. Motor elektrik tersebut dikatakan lebih kompak dan ringan berbanding model terdahulu iaitu A3 Sportback e-tron. Seperti sebelum ini, ia diintegrasikan di dalam perumah transmisi S tronic enam kelajuan yang memacu roda hadapan.
Gabungan ini menghasilkan kuasa keseluruhan berjumlah 204 PS dan 350 Nm, sekaligus membolehkan A3 memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 227 km/j. Menurut Audi, varian yang lebih berkuasa akan diperkenalkan tidak lama lagi.
Dengan bateri lithium-ion 13 kWj yang terletak di bawah tempat duduk belakang, A3 menawarkan pemanduan elektrik sejauh 78 km berdasarkan kitaran NEDC. Ini adalah 20 km lebih jauh berbanding A3 Sportback e-tron. Sementara itu, kelajuan maksimum bagi mod pemanduan elektrik adalah 140 km/j.
Pengecasan bateri dari 0 hingga 100 peratus mengambil masa kira-kira empat jam menerusi pengecas AC 2.9 kW. Pemilik boleh menggunakan aplikasi myAudi untuk menetapkan waktu pengecasan dan mengawal sistem pendingin hawa pra-kemasukan dari telefon pintar mereka.
No Comment