Audi A5 Sportback Facelift Kini di Malaysia
Audi A5 Sportback versi facelift telah dilancarkan secara rasmi di Malaysia, setahun setengah selepas model generasi kedua itu membuat debut di sini. Harga, bagaimanapun, masih belum didedahkan.
Walaupun bentuk ‘fastback’ masih dikekalkan, A5 kini tampil lebih berkuasa terima kasih kepada gril Singleframe yang lebih rata dan lebar, serta bampar yang direka semula dengan lubang aliran udara yang lebih besar.
Di belakang, muncung ekzos berbentuk trapezoid yang ditempatkan di dalam diffuser menjadikan kereta ini kelihatan lebih lebar dan mengancam. Untuk pasaran Malaysia, lampu utama Matrix LED dan lampu belakang LED dengan lampu isyarat membelok dinamik didatangkan secara standard.
Di dalam, terdapat sistem MMI baharu yang merangkumi paparan sentuh berukuran 10.1 inci dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto. Turut disertakan adalah kokpit maya (virtual kokpit) 12.3 inci untuk pemandu yang mempunyai tiga paparan yang boleh dikustomkan.
A5 Sportback facelift hadir dengan enjin 2.0 TFSI dalam versi 150 hp atau 249 hp. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi S tronic tujuh kelajuan. Versi yang lebih berkuasa itu didatangkan dalam trim “advanced” yang turut menyertakan sistem quattro.
Selain itu, kedua-dua versi mempunyai sistem mild-hybrid (MHEV) dengan sistem elektrik 12 volt dan Belt Alternator Starter (BAS) yang dihubungkan pada aci engkol.
Sistem ini membolehkan A5 ‘belayar’ atau ‘coasting’ dengan enjin dimatikan pada kelajuan 55 hingga 160 km/j. Selain itu, terdapat juga ciri mula-henti (start-stop) yang beroperasi dari kelajuan serendah 22 km/j. Menurut Audi, sistem MHEV ini dikatakan boleh mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 0.3 liter bagi setiap 100 km.
No Comment