Audi RS Q8 Terima Sentuhan ABT
Dengan 591 hp dan 800 Nm, Audi RS Q8 sudah boleh dikira sebagai sebuah super SUV yang menakutkan yang boleh mengalahkan pesaingnya dengan mudah. Namun jika kuasa tersebut tidak mencukupi, ABT Sportsline ada menawarkan pakej naik taraf yang lengkap untuk membawa prestasinya ke satu tahap yang lebih tinggi.
Bermula dengan aspek kuasa, syarikat talaan dari Jerman yang popular itu meningkatkan kuasa enjin 4.0-liter biturbo V8 itu kepada 691 hp dan 880 Nm, atau sehingga 730 hp dan 920 Nm jika anda tidak gentar. Masa pecutan 0-100 km/j tidak didedahkan namun menurut ABT, mereka boleh meningkatkan kelajuan maksimum sehingga 310 km/j atau 315 km/j atas permintaan pelanggan.
Untuk menjadikan pemanduan lebih mengujakan, pelanggan juga boleh mendapatkan sistem ekzos aktif ABT yang mempunyai flap yang dikawal secara elektronik dan empat muncung berukuran 102 mm yang dihiasi dengan karbon sebenar. Sebagai alternatif, ABT turut menawarkan kemasan hitam berkilat.
Selain itu, terdapat juga ABT Level Control yang dibangunkan khas untuk mengawal sistem suspensi udara RS Q8. Mod Comfort mengurangkan ketinggian sebanyak 25 mm manakala mod Dynamic pula mengurangkan lagi sebanyak 15 mm. Akhir sekali, mod Coffee menurunkan paras badan sebanyak 10 mm lagi.
Melengkapkan pakej ini adalah rim ABT High Performance GR berukuran 23 inci yang direka khas untuk SUV coupe ini. Keistimewaan rim ini adalah ia 40% lebih ringan berbanding rim tempaan konvesional.
No Comment