Ducati Streetfighter V4, Scrambler 1100 Pro Kini di Malaysia
Next Bike Sdn Bhd, pengedar rasmi motosikal Ducati di Malaysia, telah melancarkan dua model baharu iaitu Streetfighter V4 dan Scrambler 1100 Pro. Kedua-duanya kini boleh dilihat dengan lebih dekat dan ditempah di bilik pameran Ducati yang bertauliah.
Streetfighter V4 (RM115,900) & V4 S (RM145,900)
Secara asasnya, Streetfighter V4 adalah Panigale V4 tanpa fairing. Nadinya adalah enjin Desmosedici Stradale berkapasiti 1,100 cc empat silinder yang menghasilkan 208 hp dan 123 Nm.
Dari segi penggayaan, Streetfighter V4 menampilkan lampu LED penuh yang minimalis dengan lampu nyalaan siang (DRL) berbentuk V serta sayap ‘biplane’ yang dibangunkan oleh Ducati Corse. Ia juga mempunyai bar hendal yang tinggi dan lebar, serta perehat kaki (foot pegs) yang memberikan posisi menunggang yang lebih sporty.
Memastikan prestasi motosikal sentiasa terkawal adalah pakej elektronik yang berasaskan teknologi Inertial Measurement Unit 6-paksi (6D IMU) yang berfungsi untuk mengesan sudut ‘roll’, ‘yaw’ dan ‘pitch’ motosikal.
Mereka yang inginkan tahap prestasi yang lebih tinggi boleh mendapatkan Streetfighter V4 S yang tampil dengan beberapa ciri tambahan yang menarik seperti rim tempaan Marchesini, suspensi elektronik Ohlins yang merangkumi fork NIX30 43 mm dan monoshock TTX36, serta peredam stereng.
Scrambler 1100 Pro (RM75,900) & Scrambler 1100 Sport Pro (RM80,900)
Berasaskan model Scrambler 1100 yang dilancarkan di Malaysia dua tahun lalu, versi Pro ini menjanjikan tahap keseronokan yang lebih tinggi terutamanya untuk tunggangan di bandar. Ia hadir dengan engjin 1,079 cc L-berkembar yang menjana 86 hp dan 88 Nm, serta casis yang terdiri daripada bingkai Trellis dan subframe aluminium.
Versi yang lebih hebat yang dikenali sebagai Scrambler 1100 Sport Pro turut ditawarkan oleh Next Bike. Di samping sistem suspensi Ohlins dan bar hendal yang lebih rendah, model ini boleh dibezakan menerusi skema warna hitam matte, logo ‘1100’ pada panel sisi dan cermin sisi ala cafe racer.
Dari segi kelengkapan elektronik, kedua-dua versi tampil dengan Ducati Traction Control, ABS Cornering dan tiga mod tunggangan standard iaitu Active, Journey dan City.
No Comment