Ford RS200 Evolution Untuk Dijual
Sering kali dianggap sebagai Zaman Keemasan rali, era Group B menyaksikan kemunculan beberapa jentera rali yang paling berbisa di dunia. Salah satu daripada jentera tersebut adalah Ford RS200, yang dibangunkan khas oleh Ford Great Britain pada 1984 untuk bertanding dalam kejohanan yang cukup berbahaya itu.
Bentuk badannya yang ikonik itu direka oleh Ghia, sebuah studio rekaan yang terkenal di Itali, sementara casisnya pula merupakan hasil tangan jurutera Formula 1 Tony Southgate dan John Wheeler. Semasa zaman kegemilangannya, RS200 dikenali sebagai antara jentera rali Group B yang paling seimbang kerana kedudukan enjinnya di bahagian tengah casis.
Bagi memenuhi peraturan homologasi yang ditetapkan oleh FIA, Ford telah menghasilkan 200 unit RS200 untuk kegunaan jalan raya. Daripada jumlah tersebut, 24 unit telah dinaik taraf menjadi model yang lebih berkuasa yang dikenali sebagai Evolution. Tidak perlulah penulis katakan yang model Evolution ini memang sangat ‘rare’. Namun baru-baru ini, sebuah syarikat dari California iaitu Canepa telah menyenaraikan sebuah RS200 Evolution untuk dijual.
Kereta tersebut yang mempunyai nombor casis 106, telah melalui proses restorasi yang menyeluruh mengikut spesifikasi asal. Proses pemasangan akhir dijalankan oleh RM Motorsports dari Wixom, Michigan. Syarikat tersebut mengkhususkan dalam restorasi kereta lumba Ford, jadi anda tidak perlu risau tentang kualiti kerja mereka.
Atas permintaan pemilik pertamanya, Frank Proferoa, enjin turbo BDT-E 2.1-liter empat silinder yang dihasilkan oleh Cosworth itu telah ditala semula oleh Brian Hart Limited dari Essex, UK. Hasilnya, enjin tersebut menjana 704 bhp dan 725 Nm, disalurkan ke keempat-empat roda menerusi transmisi manual lima kelajuan. Bagaimanapun, bagi memastikannya ia lebih mudah dikawal, pemilik kedua kereta ini telah mengurangkan kuasa tersebut kepada 615 bhp dan 691 Nm.
Antara contoh komponen yang telah dinaik taraf termasuklah sistem pengurusan enjin Motec, sistem pencucuhan baharu lengkap dengan kotak CDI, pengecas turbo moden, sistem ekzos kustom, brek baharu dan pelbagai lagi. Menurut Canepa, kos keseluruhan untuk projek restorasi ini adalah melebihi $212,000 (RM879,00).
Harga jualan RS200 Evolution ini tidak dinyatakan namun melihat kepada kos restorasinya sahaja, ia mungkin melebihi $300,000 (RM1.24 juta). Jika betullah itu harganya, kereta ini sama atau lebih mahal berbanding kebanyakan supercar di luar sana. Sekiranya anda mampu, adakah anda akan membeli RS200 Evolution ini atau supercar moden seperti Ferrari atau Lamborghini?
No Comment