Hummer EV Diperkenalkan Secara Rasmi
Sebelum ini, nama Hummer sinonim dengan enjin V8 berkapasiti besar yang sering dikecam oleh geng pencinta alam. Namun, persepsi itu bakal berubah dengan kehadiran versi terbaru yang dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya.
Dikenali sebagai Hummer EV, trak super keluaran GMC ini mempunyai bukan satu atau dua tetapi tiga buah motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 1,000 hp dan 15,592 Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa tiga saat, setanding dengan supercar moden.
Untuk jarak pemanduan, GMC memberikan anggaran sejauh 560 km dengan satu cas penuh. Kuasa ini dibekalkan oleh bateri Ultium yang tidak diketahui kapasitinya, namun GMC mendedahkan bahawa bateri tersebut sesuai dengan pengecas pantas DC sehingga 350 kW. Apa yang menarik, ia hanya perlu dicas selama 10 minit bagi mendapatkan jarak pemanduan sejauh 160 km.
Walaupun dijana oleh kuasa elektrik, Hummer EV menjanjikan prestasi pemanduan off-road yang luar biasa menerusi ciri-ciri seperti sistem suspensi udara yang boleh meningkatkan paras ketinggian kenderaan sehingga 149 mm, plat perisai bawah badan dan tayar OD Goodyear Wrangler Territory MT berukuran 35 inci.
Bukan itu sahaja, trak ini juga dilengkapi dengan teknologi CrabWalk, di mana tayar hadapan dan belakang membelok pada sudut yang sama bagi membolehkan ia mengharungi permukaan bumi yang mencabar dengan mudah. Pemandu juga boleh memantau keadaan di bawah kenderaan menerusi kamera UltraVision yang terletak pada bahagian bawah badan.
Turut disertakan adalah tailgate MultiPro, Adaptive Ride Control, Drive Mode Control, bumbung Infinity, Sky Panel yang boleh ditanggalkan, paparan infotainmen 13.4 inci dan panel instrumen digital berukuran 12.3 inci.
Hummer EV akan memasuki pasaran pada tahun hadapan bermula dengan model Edition 1 pada harga $112,595 (RM466,595). Ia akan disusuli dengan varian EV3X yang berharga $99,995 (RM414,380) pada 2022, seterusnya varian EV2X yang berharga $89,995 (RM372,940) pada 2023 dan varian asas EV2 yang berharga $79,995 (RM331,500) pada 2024.
No Comment