Hyundai Sonata Masuk Pasaran Malaysia – RM206,888
Selain Kona, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) turut melancarkan saingan mereka dalam pasaran sedan segmen D iaitu Sonata. Ia ditawarkan dalam varian Smarstream G2.5 dengan harga bermula dari RM206,888. Namun, untuk 50 unit pertama, ia akan dijual dengan harga promosi RM189,888.
Kini dalam generasi kelapan, Sonata menampilkan bentuk badan coupe empat pintu yang diinpirasikan oleh model konsep Le Fil Rouge. Ia menampilkan gril Digital Pulse Cascading dan lampu nyalaan siang LED dengan teknologi lampu tersembunyi yang membuatkannya tampak seperti jalur krom apabila dipadamkan.
Ruang dalaman pula tampil moden dan canggih, terutamanya dengan kehadiran kelengkapan seperti kluster instrumen digital 12.3 inci dengan paparan mengikut mod pemanduan, skrin sentuh HD berukuran lapan inci dengan fungsi audio-video dan navigasi, serta paparan HUD.
Sonata boleh didapati dalam enam warna iaitu White Cream, Shimmering Silver, Nocturne Grey, Oxford Blue, Midnight Black dan Flame Red. Warna Oxford Blue dan Flame Red dipadankan dengan ruang dalaman berwarna hitam, Shimmering Silver dengan upholsteri kulit dua tona Greige, manakala White Cream, Nocturne Grey dan Midnight Black dengan upholsteri kulit dua tona Camel.
Di bawah hud, enjin Smartstream G2.5 menawarkan prestasi dinamik dan pengalaman pemanduan yang lancar dan selesa. Enjin tersebut menghasilkan 180 hp pada 6,000 rpm dan 232 Nm pada 4,000 rpm, manakala penukaran gear dilakukan oleh transmisi automatik enam kelajuan dengan teknologi Electric Shift Button.
Ciri keselamatan pula merangkumi enam beg udara, ABS, Electronic Stability Control (ESC), Hill-Start Assist Control (HAC), Brake Assist System (BAS) dan Vehicle Stability Management (VSM).
Bukan itu sahaja, sedan ini juga dilengkapi dengan Blind-Spot View Monitor yang menggunakan kamera pada cermin sisi untuk memberikan sudut pandangan yang lebih jelas. Blind-Spot Collision Warning (BCW) pula bertindak dengan mengesan kehadiran kenderaan lain di dalam kawasan titik buta kenderaan.
Selain itu, pemandu juga boleh parkir atau keluar dari ruang yang sempit dengan lebih mudah dengan adanya ciri Surround View Monitor.
No Comment