Mitsubishi Eclipse Cross Facelift Tampil Lebih Kemas
Mitsubishi Eclipse Cross versi facelift telah didedahkan secara rasmi dengan reka bentuk yang diolah semula.
Bermula dari bahagian hadapan, bar krom melintang sebelum ini telah disingkirkan dan digantikan dengan kemasan berwarna hitam, manakala panel berwarna perak pada bahagian bawah kini digantikan dengan panel mengikut warna badan.
Konsep Dynamic Shield masih digunakan untuk membentuk wajah hadapan model ini, namun rekaan lampunya kini lebih langsing dan hanya menempatkan lampu nyalaan siang (DRL). Projektor lampu utama dan lampu kabus nampaknya telah dialihkan ke bawah.
Perubahan reka bentuk adalah lebih ketara pada bahagian belakang, di mana pintu tailgate dan cermin belakang telah direka semula supaya tampil lebih kemas. Lampunya juga lebih besar berbanding sebelum ini. Dari sudut ini, Eclipse Cross tidak ubah seperti Nissan X-Trail.
Di dalam, tidak banyak yang berubah kecuali pada bahagian papan pemuka, di mana skrin audio berukuran lapan inci ditempatkan. Paparan tersebut dialihkan lebih dekat kepada pemandu dan kini mempunyai tombol kawalan pembesar suara untuk penggunaan yang lebih mudah.
Bukan itu sahaja, pad sentuh yang terletak bersebelahan dengan tombol gear pada model terdahulu juga telah dibuang bagi menghasilkan lebih banyak ruang penyimpanan pada konsol tengah.
Seperti sebelum ini, Eclipse Cross dikuasakan oleh enjin MIVEC 1.5-liter empat silinder turbo yang dipadankan dengan CVT yang mempunyai mod sport lapan kelajuan. Mitsubishi mengesahkan bahawa versi hibrid plug-in (PHEV) akan dilancarkan di pasaran-pasaran terpilih.
Tambah syarikat itu lagi, di samping penggunaan penyerap hentak belakang yang lebih besar, gegelung pada topang MacPherson hadapan dan suspensi ‘multi-link’ belakang telah ditala semula untuk prestasi pengendalian yang lebih tangkas.
Model ini akan dilancarkan di Australia dan New Zealand pada November tahun ini, diikuti dengan Amerika Syarikat pada suku pertama tahun hadapan.
No Comment