Produksi Mitsubishi Xpander Di Pekan Kini Bermula
Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), pengedar rasmi kenderaan Mitsubishi di negara ini, mengumumkan bahawa Mitsubishi Xpander sudah mula keluar dari kilang di Pekan, Pahang, sekaligus menandakan bermulanya produksi besar-besaran model itu.
Malaysia merupakan negara ketiga yang memasang Xpander secara tempatan selepas Indonesia dan Vietnam.
MPV tujuh tempat duduk itu dihasilkan di kilang HICOM Automotive Manufacturers Sdn Bhd, dengan kapasiti pengeluaran mencecah 6,000 unit setahun.
MMM telah membuat pelaburan untuk mendirikan Body Shop, Painting Jigs dan Tester Line di kilang tersebut. Xpander akan melalui proses Pre-Treatment dan Electro Desposition dengan pergerakan 360 darjah di dalam tangki ED-coat. Kemudian, lapisan primer akan dicat dengan sistem robotik dan dikeringkan di dalam ketuhar.
Akhir sekali, Xpander akan dicat semula dengan beberapa lapisan lagi bagi mendapatkan kemasan akhir yang berkualiti.
Juruaudit yang diiktiraf Mitsubishi Motors Corporation (MMC) akan ditempatkan di kilang tersebut untuk mengawasi proses pemasangan bagi memastikan ia mematuhi piawaian dan kualiti produksi Mitsubishi di seluruh dunia.
Bercakap tentang Xpander, Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi berkata, “Xpander adalah model yang signifikan bagi MMM dan kami yakin bahawa ia akan menjadi kegemaran rakyat Malaysia.”
“Kami memastikan setiap unit Xpander melalui ujian kawalan kualiti yang menyeluruh sebelum dihantar. Setiap inci akan diperiksa dengan teliti oleh mata manusia dan teknologi yang canggih.”
Menurut MMM, Xpander dijangka akan dilancarkan secara rasmi pada November depan.
No Comment