SDAS, myTukar Jalin Kerjasama Tingkatkan Pengalaman Pelanggan
Dalam usahanya untuk merevolusikan pengalaman jual beli kereta terpakai untuk pelanggan, Sime Darby Auto Selection (SDAS) telah menjalinkan kerjasama dengan platform bida kenderaan dalam talian, myTukar.
SDAS merupakan anak syarikat kereta pra-milik milik Sime Darby Motors yang memulakan operasinya sebagai pengedar BMW Premium Selection yang bertauliah. Hari ini, SDAS merupakan pengedar kenderaan pra-milik untuk pelbagai jenama dengan tiga bilik pameran di Lembah Klang dan satu di Johor Bahru.
Dengan proses digitalisasi yang disediakan oleh myTukar, kerjasama ini akan mengembangkan lagi rangkaian SDAS, di samping memberikan pelanggan lebih banyak pilihan dan menyediakan pangkalan data transaksi kereta terpakai dalam talian yang telus dan tepat.
Bukan itu sahaja, pengurusan inventori SDAS juga bakal ditingkatkan menerusi analisis data myTukar mengenai transaksi kereta terpakai.
“Kami menantikan perkongsian yang bermanfaat dengan myTukar, dan mencari lebih banyak cara untuk menjadikan pengalaman jual beli kereta terpakai lebih mudah untuk pelanggan kami,” tambah Jeffrey Gan, Pengarah Urusan, Runcit dan Pengedaran, Malaysia, Sime Darby Motors.
Sementara itu, Fong Hon Sum, Ketua Pegawai Eksekutif myTukar pula berkata, “Saya percaya bahawa perkongsian ini akan mengukuhkan visi bersama kami untuk memberi pelanggan proses pembelian dan penjualan kereta yang lancar dan telus. “
No Comment