Subaru Dedah WRX STI Untuk Siri Gymkhana Terbaru
Seperti yang diumumkan oleh Subaru dan Hoonigan pada Mei lalu, siri video Gymkhana terbaru akan menyaksikan kemunculan Travis Pastrana yang menggantikan pemandu sebelum ini iaitu Ken Block. Bekas pemenang pingat emas X-Games itu tidak akan memandu jentera Ford, sebaliknya sebuah Subaru WRX STI yang telah diubahsuai oleh Vermont SportsCar.
Dengan “prestasi ekstrem” sebagai fokus utama, kereta tersebut kini memakai kit badan lebar yang diperbuat sepenuhnya daripada gentian karbon dengan pakej aerodinamik yang merangkumi spoiler berkembar, diffuser yang besar serta tidak dilupakan ‘canard’ pada bampar hadapan dan belakang. Komponen-komponen ini telah diuji di dalam terowong angin.
Menurut Subaru, jentera ini dikuasakan oleh enjin ‘boxer’ yang dibina secara kustom dengan ekzos yang terkeluar dari hud. Namun, perincian teknikal mengenainya masih dirahsiakan. Selain itu, ia juga mempunyai sistem suspensi dengan ‘travel’ yang panjang dan ruang dalaman yang dibina mengikut spesifikasi Pastrana.
“Kami tidak pernah berpeluang untuk melakukannya sebelum ini, untuk membina sebuah kereta tanpa sebarang kekangan. Enjin, suspensi, aero – semuanya tidak terhad. Ia sangat laju, mudah dikawal dan ianya sempurna semasa ujian. Gymkhana adalah ujian baru untuk saya tetapi saya ingin menaikkan penanda aras, dan inilah kereta untuk melakukannya,” ujar Travis Pastrana.
Berbekalkan pengalamannya dalam rali, rallycross, supercross, motocross gaya bebas dan perlumbaan NASCAR, Pastrana akan membawa siri Gymkhana ke satu tahap yang lebih tinggi dengan konsep yang lebih segar.
No Comment