Volkswagen Golf GTI Clubsport Mk8 Ada Mod Khas Untuk Nurburgring
Pada Februari lalu, Volkswagen memperkenalkan Golf GTI Mk8 yang hadir dengan 245 PS dan 370 Nm. Mungkin bagi anda jumlah ini sudah mencukupi namun kami yakin ramai di luar sana yang inginkan sesuatu yang lebih berkuasa. Memperkenalkan, Golf GTI Clubsport.
Bermula daripada luaran, model ini tampil dengan rekaan bampar yang lebih agresif dengan kemasan sarang lebah (honeycomb), serta elemen berbentuk sayap pada sudut kiri dan kanan bampar. Di belakang, terdapat spoiler bumbung berwarna hitam berkilat, muncung ekzos berkembar dan diffuser.
Jentera ‘hot hatch’ ini mendapat rim aloi berukuran 18 inci sebagai kelengkapan standard, namun pelanggan boleh menaik taraf kepada unit 19 inci untuk penampilan yang lebih sporty.
Suasana di dalam kabin tidak kurang menariknya, dengan jahitan kontras berwarna merah pada tempat duduk, perehat tangan, karpet dan stereng. Model ini didatangkan standard dengan upholsteri fabrik ArtVelours, manakala upholsteri kulit berlubang (perforated) ditawarkan secara opsyen.
Golf GTI Clubsport hadir dengan enjin turbo 2.0-liter empat silinder (EA888) yang sama dengan GTI, namun kuasanya telah dipertingkatkan kepada 300 PS dan 400 Nm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar DSG tujuh kelajuan. Sayangnya, Volkswagen tidak menawarkan pilihan transmisi manual enam kelajuan seperti model Clubsport yang terdahulu.
Menurut Volkswagen, pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan di bawah enam saat manakala kelajuan maksimum jentera ini dihadkan secara elektronik pada 250 km/j.
Aspek pengendaliannya turut ditambah baik menerusi sistem Vehicle Dynamics Manager yang mengintegrasikan kawalan ‘differential’ serta penyerap hentak adapatif, jika ia dipilih oleh pelanggan. Volkswagen mendakwa bahawa sistem ini memberikan respon stereng yang lebih pantas, di samping menghapuskan ‘understeer’.
Selain itu, model ini juga mempunyai sistem suspensi yang lebih rendah (15 mm) dan camber positif pada gandar hadapan untuk tindak balas yang lebih baik terutamanya ketika memasuki selekoh.
Apa yang lebih menarik, Volkswagen turut menyertakan mod pemanduan Special yang ditala khas untuk pemanduan agresif di litar Nurburgring Nordschleife. Antara talaan mod ini adalah tetapan suspensi yang lebih lembut yang dikatakan lebih sesuai untuk menghadapi permukaan beralun di litar yang dikenali sebagai Neraka Hijau itu.
No Comment