Aston Martin DBX – Intrepid Aura Masuk Pasaran Malaysia
Sebulan selepas pelancaran DBX, Aston Martin Kuala Lumpur kini kembali dengan model edisi khas yang dikenali sebagai DBX – Intrepid Aura. Ia ditawarkan pada harga RM958,000 sebelum cukai, menunjukkan perbezaan harga sebanyak RM140,000 berbanding versi standard.
Apa yang menjadikan model ini lebih istimewa? Pertamanya, ia didatangkan dalam pilihan warna eksklusif. Model ini menampilkan warna Yellow Tang, namun pelanggan juga boleh memilih warna-warna lain iaitu Ceramic Blue, Stratus White dan Lime Essence.
Warna tersebut dipadankan dengan kemasan hitam berkilat pada keliling cermin, rel bumbung, gril dan cermin sisi. Lampu belakang didatangkan dengan efek ‘smoked’, manakala lencana dan perkataan ‘Aston Martin’ pada bahagian belakang pula menerima kemasan krom hitam. Melengkapkan pakej ini adalah rim berukuran 22 inci berwarna hitam satin.
Untuk ruang kabin pula, Aston Martin menggunakan kemasan krom satin gelap, upholsteri kulit Caithness, pelapik bumbung Alcantara, karpet lantai berwarna hitam Obsidian dan veneer kayu berwarna hitam piano. Warna kuning pada bahagian luaran dipadankan dengan jahitan kontras Electron Yellow pada bahagian dalaman.
Seperti DBX standard, kuasa dibekalkan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang menjana 550 PS pada 6,500 rpm dan 700 Nm dari 2,200 hingga 5,000 rpm. Dengan transmisi automatik sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda, SUV mewah berprestasi tinggi ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 291 km/j.
DBX – Intrepid Aura kini berada di bilik pameran Aston Martin Kuala Lumpur. Untuk membuat janji temu, hubungi talian +60 3 2163 1196 atau emel kepada astonmartinkl.enquiries@wearnes.com.
No Comment