Audi SQ2 Terima Facelift
Setelah dua tahun berada di pasaran, Audi SQ2 kini diberi nafas baharu menerusi versi facelift. Rekaannya hampir sama dengan Q2 facelift yang diperkenalkan pada Oktober lalu, dengan gril Singleframe yang diletakkan lebih rendah serta lampu LED pada bahagian hadapan dan belakang.
Rekaan belakangnya tidak banyak berubah, masih kekal dengan spoiler bumbung dan empat muncung ekzos yang diintegrasikan ke dalam diffuser. Audi menawarkan 10 pilihan warna serta pakej penggayaan hitam yang memberikan kemasan hitam berkilat pada gril, diffuser, cermin sisi, bilah tiang C dan muncung ekzos.
Ruang dalaman pula didominasi oleh tona gelap dengan headliner dan panel pintu berwarna hitam, manakala pedal dan perehat kaki diperbuat daripada keluli tahan karat. Panel instrumen pula akan menunjukkan paparan spesifik model S ketika enjin dihidupkan.
Antara kelengkapan standard yang disertakan termasuk ciri ketersambungan LTE, Wi-Fi hotspot dan sistem audio premium Bang & Olufsen.
Seperti sebelum ini, enjin 2.0 TFSI empat silinder menjana 300 PS dan 400 Nm dari 2,000 hingga 5,300 rpm. Gabungan transmisi S tronic tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda quattro membolehkan crossover kompak ini memecut dari 0 hingga 100 km/j 4.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.
Sistem suspensi sport pada SQ2 mengurangkan tahap ketinggian badannya sebanyak 20 mm, manakala stereng progresif menjadikan model ini lebih lincah dan mudah dikawal. Rim aloi 18 inci adalah standard, namun pelanggan boleh menaik taraf kepada unit 19 inci. Sistem brek pula terdiri daripada cakera 340 mm di hadapan dan 310 mm di belakang.
Satu lagi ciri standard adalah sistem Audi Drive Select yang menawarkan profil pemanduan Auto, Comfort, Dynamic, Efficiency dan Individual. Setiap satu profil mempunyai karakter stereng, transmisi dan enjin yang tersendiri. Selain itu, pemandu juga boleh menetapkan ESC kepada mod Off-Road.
No Comment