Changan UNI-K Diperkenalkan – Porsche Cayenne Coupe Ciplak?
China mempunyai industri automatif yang terbesar di dunia namun reputasinya sedikit sebanyak tercemar akibat beberapa pengeluar yang menciplak rekaan kereta terkenal dari luar negara tanpa segan silu.
Sebagai contoh, SUV coupe keluaran Changan Automobile yang dikenali sebagai UNI-K ini mempunyai reka bentuk yang tidak ubah seperti Porsche Cayenne Coupe terutamanya apabila dilihat dari sisi. Di belakang, persamaan antara kedua-dua model tersebut boleh dilihat dengan jelas pada rekaan lampunya yang memanjang.
Walau bagaimanapun, UNI-K masih mempunyai ciri-cirinya yang tersendiri seperti lampu nyalaan siang berbentuk Y, rekaan gril yang rumit, pemegang pintu ‘pop out’ serta lampu brek ketiga yang diintegrasikan pada spoiler belakang. Tidak dinafikan, rim berukuran 21 inci dengan spoke berkembar membuatkannya kelihatan agresif.
Dari segi saiz, UNI-K mempunyai ukuran panjang 4,865 mm, lebar 1,948 mm dan tinggi 1,700 mm. Ini menjadikannya 66 mm lebih pendek, 246 mm lebih sempit dan 24 mm lebih tinggi berbanding Cayenne Coupe.
Di bawah hud, terdapat enjin turbo petrol berkapasiti 2.0-liter yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan empat roda. Kuasa dan tork tidak didedahkan, namun ia dijangka mempunyai 229 hp dan 360 Nm seperti model keluaran Changan yang lain.
UNI-K akan memasuki pasaran pada suku pertama tahun hadapan dengan harga dari bermula dari $27,000 (RM112,300). Ia dijangka membuat penampilan sulung di Guangzhou Auto Show pada bulan ini.
No Comment