Berita Auto

Harga Mitsubishi Xpander Diumumkan – RM91,369

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan harga pasaran bagi Mitsubishi Xpander. Ditawarkan dalam satu varian sahaja, MPV tujuh tempat duduk itu dijual pada harga RM91,369 (harga atas jalan tidak termasuk insurans) selepas pengecualian cukai jualan.

Menurut syarikat itu, model itu telah menerima lebih 2,000 tempahan sejak ianya dibuka pada 22 Oktober lalu.

Xpander dikuasakan oleh enjin MIVEC 1.5-liter dengan blok aluminium yang menghasilkan 105 PS pada 6,000 rpm dan 141 Nm pada 4,000 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan.

Rekaan ‘Dynamic Shield’ yang dibawa olehnya dipadankan dengan lampu LED dan blok kristal LED pada bahagian bampar. Ia juga didatangkan dengan rim aloi dua tona berukuran 16 inci.

Dari segi saiz, Xpander mempunyai ukuran panjang 4,475 mm, lebar 1,750 mm dan tinggi 1,730 mm. Ukuran tapak roda sepanjang 2,775 mm memberikan ruang kaki yang luas untuk penumpang, manakala jarak lega tanah 205 mm menjadikan ia sebuah MPV yang lasak.

Tempat duduk barisan kedua dan ketiga boleh dilipat rata bagi menghasilkan ruang but yang lebih besar. Selain itu, terdapat juga ruang penyimpanan pelbagai guna di bawah tempat duduk, kotak lantai kargo dengan penutup, poket sisi pada tempat duduk ketiga, kotak konsol tengah, pemegang cawan dan pelbagai lagi ruang penyimpanan.

Ciri-ciri lain yang disertakan termasuklah empat corong pendingin hawa bumbung, paparan sistem audio berukuran 9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta kluster meter 4.2 inci.

Ciri keselamatan pula merangkumi dua beg udara, ABS, Electronic Brake Force Distributor (EBD), Active Stability Control (ASC), Brake Assist System (BA) dan Hill Start Assist.

Previous post

MINI Elektrik Dicat Khas Bersempena Ulangtahun Superhero "The Flash" Yang Ke-80

Next post

Nissan Perkenal Navara 'Facelift' Baharu

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *