Honda City Hatchback Dilancarkan Di Thailand
Honda telah melancarkan City Hatchback di Thailand. Dibina di atas platform yang sama dengan City sedan, model terbaru itu ditawarkan dalam tiga varian iaitu S+, SV dan RS.
Ketiga-tiga varian dikuasakan oleh enjin VTEC Turbo 1.0-liter tiga-silinder yang mampu menghasilkan 122 PS pada 5,500 rpm dan 173 Nm dari 2,000 hingga 4,500 rpm. Enjin tersebut digandingkan dengan transmisi CVT. Pilihan kotak gear manual tidak ditawarkan.
Sistem suspensi yang digunakan adalah jenis topang MacPherson bebas dengan bar penstabil pada bahagian hadapan dan ‘torsion beam’ pada bahagian belakang. Untuk brek pula, model ini menggunakan cakera di hadapan dan dram di belakang.
Dari segi reka bentuk, bahagian hadapan City Hatchback sama seperti versi sedan, begitu juga dengan rekaan bahagian sisi. Perbezaan boleh dilihat pada bahagian belakang, di mana model ini mempunyai tailgate dan spoiler bumbung. Bentuk lampu belakang juga berbeza namun masih menampilkan grafik yang sama.
Dari segi kelengkapan, varian RS tampil dengan lampu LED, kemasan hitam berkilat pada gril dan cermin sisi serta rim aloi 16 inci. Sementara itu, varian S+ dan SV didatangkan standard dengan lampu halogen projektor, gril krom dan rim 15 inci.
Seperti yang dijangka, susun atur ruang dalamannya turut dikekalkan. Varian SV dan RS dilengkapi dengan skrin sentuh berukuran lapan inci dengan sokongan Apple CarPlay, dua port USB dan pendingin hawa automatik.
Sebagai varian teratas, City Hatchback RS mendapat ciri tambahan berupa upholsteri fabrik/suede/kulit sintetik dengan jahitan kontras merah, paddle shifter, Cruise Control, lapan pembesar suara dan Honda Connect.
Sistem keselamatan pula merangkumi beg udara pemandu dan penumpang hadapan, beg udara sisi hadapan, beg udara tirai (RS sahaja), ABS dengan EBD, Vehicle Stability Assist (VSA), Hill Start Assist (HSA), Emergency Stop Signal (ESS), kamera undur (SV dan RS sahaja), Immobilizer dan cagak ISOFIX.
Harga bermula dari 599,000 baht (RM80,670) untuk S+, 675,000 baht (RM90,905) untuk SV dan 749,000 baht (RM100,870) untuk RS. Untuk perbandingan, City ditawarkan pada harga RM76,800 untuk S, RM84,800 untuk E dan RM89,800 untuk V di Malaysia.
No Comment