Hyundai Elantra N Mungkin Hadir Dengan 275 hp
Nampaknya Hyundai benar-benar serius dalam usahanya untuk mengembangkan lagi portfolio N mereka. Setelah mendedahkan teaser Tucson N Line semalam, syarikat itu kini memperlihatkan pula Elantra N.
Jangan terkeliru dengan Elantra N Line pula, kerana Elantra N menjanjikan tahap prestasi yang lebih tinggi. Setakat ini, perincian teknikal masih dirahsiakan namun menurut beberapa laporan, sedan empat pintu ini berkemungkinan hadir dengan enjin 2.0-liter turbo empat silinder dengan 275 hp seperti yang terdapat pada Veloster N.
Dari segi penampilan, pelekat penyamaran yang dipakai oleh model ini ternyata tidak dapat menyembunyikan reka bentuk bampar yang agresif, lip spoiler yang menonjol serta bukaan udara yang besar.
Bahagian belakang pula menampilkan spoiler yang besar serta ekzos berkembar. Selain itu, ia juga dilihat mempunyai angkup brek N berwarna merah di sebalik rim dua tona yang menarik. Dalam erti kata lain, Elantara N jauh lebih garang berbanding versi N Line.
Apa yang menarik, Elantra N bukanlah model terakhir dalam portfolio model berprestasi tinggi Hyundai. Menurut pengeluar dari Korea Selatan itu, mereka akan memperkenalkan dua lagi model N dan N Line, menjadikan kesemuanya tujuh model.
No Comment