Hyundai Sah Hasilkan Tucson N Line
Pada September lalu, kita dipersembahkan dengan Hyundai Tucson generasi keempat yang tampil dengan reka bentuk segar. Kini, pengeluar dari Korea Selatan itu mengesahkan pula kehadiran varian Tucson N Line menerusi tiga foto teaser.
Setakat ini, masih belum ada apa-apa spesifikasi atau maklumat mengenai model ini namun seperti yang boleh dilihat, ia mempunyai rekaan bampar yang lebih sporty, logo N Line pada bahagian dapra, liang udara pada gerbang roda serta rim dua-tona yang dibalut tayar Continental Premium Contact SSR.
Sementara itu, bahagian belakang pula menampilkan rekaan bampar yang lebih agresif lengkap dengan diffuser berwarna perak.
Untuk enjin pula, Tucson N Line dilaporkan akan hadir dengan enjin turbo 2.5-liter yang menghasilkan 290 PS, bagaimanapun ia masih belum disahkan oleh Hyundai. Sebagai perbandingan, Tucson standard ditawarkan dengan enjin NA 2.5-liter dengan 190 PS/247 Nm dan enjin turbo 1.6-liter dengan 230 PS/350 Nm.
Menurut Hyundai, Tucson N Line merupakan model penting dalam rancangannya untuk mengembangkan portfolio model N kepada tujuh model menjelang 2022. Adakah ini bermakna Hyundai akan membangunkan Tucson N juga? Kita tunggu dan lihat sahaja.
No Comment