Jualan Geely Auto Lepasi Angka 10 Juta Unit
Geely Auto melakarkan sejarah apabila melepasi angka jualan 10 juta unit, hanya 23 tahun selepas ia diasaskan oleh Li Shufu. Menurut syarikat itu, hampir separuh daripada jumlah jualan tersebut direkodkan dalam tempoh tiga tahun lepas.
Pada Oktober 2020, Geely merekodkan jumlah jualan sebanyak 140,026 unit, mewakili peningkatan sebanyak 11% berbanding bulan September dan 8% dari tempoh yang sama tahun lalu.
Kereta pertama Geely hadir pada 1997 iaitu sebuah model subkompak yang dikenali sebagai Hao Qing, yang merupakan versi ‘rebadge’ kepada Daihatsu Charade. Menariknya, pada 1996, syarikat itu membina sebuah Mercedes-Benz E-Class tiruan iaitu ‘Number 01’. Model tersebut dibina menggunakan platform Audi 100 yang pada masa itu dihasilkan oleh usahasama JAW-Volkswagen. Kereta tersebut kekal sebagai prototaip dan tidak pernah dipasarkan.
Nama Geely semakin mendapat perhatian pada 2009 menerusi pelancaran model sedan Emgrand. Model tersebut melahirkan beberapa varian seperti Emgrand GS dan Emgrand GL, yang secara tidak langsung menyumbangkan kepada jumlah jualan keseluruhan Elgrand sebanyak 3 juta unit setakat tahun ini.
Turut membantu meningkatkan pertumbuhan jualan keseluruhan Geely adalah model Bo Yue SUV, yang turut dikenali dengan nama Emgrand X7 atau Azkarra di pasaran-pasaran luar negara. Model itu juga dijual sebagai Proton X70 di Malaysia. Bo Yue merupakan salah satu SUV buatan China yang paling laris dengan jualan melebihi 1 juta unit sejak ia diperkenalkan empat tahun lalu.
No Comment