Kenderaan Autonomi Tahap 3 Honda Diluluskan
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pengeluar kenderaan dan syarikat teknologi berlumba-lumba menghasilkan kenderaan autonomi masing-masing. Namun nampak gayanya Honda bakal menjadi yang pertama melintasi garisan penamat.
Menurut syarikat itu, mereka telah menerima kelulusan daripada kerajaan Jepun untuk menghasilkan dan memasarkan kenderaan autonomi Tahap 3 yang mampu memandu dengan sendiri dalam situasi tertentu seperti lebuhraya yang sesak. Bagaimanapun, ia bukanlah teknologi autonomi sepenuhnya (itu adalah Tahap 5) kerana pemandu masih perlu mengambil alih pemanduan dalam situasi kecemasan.
Apa yang menarik, orang ramai tidak perlu menunggu lama untuk merasai teknologi tersebut kerana Honda juga telah mengesahkan yang mereka akan melancarkan Honda Legend dengan teknologi Traffic Jam Pilot menjelang 31 Mac 2021. Masih tiada perincian mengenai teknologi itu namun tekaan kami ia hanya akan ditawarkan di Jepun buat masa ini. Di Malaysia, Honda menawarkan teknologi Honda Sensing pada Accord, CR-V, Civic, City RS dan Odyssey.
Sudah tentu, model Legend yang akan datang itu tertakluk pada syarat-syarat dan standard keselamatan tertentu, termasuk ia perlu mempunyai alat perakam, sistem keselamatan siber serta pelekat khas yang menandakan ia adalah kenderaan autonomi.
No Comment