Kia Carnival Hi Limousine Dilancarkan di Korea Selatan
Hanya tiga bulan selepas memperkenalkan Carnival generasi keempat, Kia kini kembali dengan versi bumbung tinggi yang dikenali sebagai Hi Limousine. Setakat ini, ia hanya ditawarkan untuk pasaran Korea Selatan dengan harga bermula dari 60,660,000 won (kira-kira RM224,747).
Sekilas pandang, model ini tampak seperti ia didatangkan dengan ruang penyimpanan ‘aftermarket’ yang diletakkan di atas bumbung. Namun, jangan salah sangka kerana apa yang anda lihat itu bukanlah aksesori, sebaliknya ia memang bumbung Carnival yang telah dinaikkan untuk meningkatkan ruang lega kepala sebanyak 291 mm.
Selain itu, ruang kabin Carnival Hi Limousine turut dijadikan lebih mewah menerusi tempat duduk kapten pada barisan kedua, sistem pencahayaan ambien, paparan sistem infotainmen berukuran 21.5 inci, sistem pembersih udara, pemegang cawan dengan fungsi pemanas dan penyejuk, serta lampu membaca pada tempat duduk barisan kedua dan ketiga.
Untuk bahagian luaran pula, selain bumbung yang lebih tinggi, model ini juga mempunyai pelindung bampar hadapan, pemijak sisi, lampu brek ketiga di bahagian belakang bumbung serta lencana ‘Hi Limousine’. Ciri-ciri ini secara tidak langsung membuatkan MPV ini kelihatan lebih garang.
Ia boleh didapati dengan satu pilihan enjin sahaja iaitu enjin 3.5-liter GDi V6 yang menjana 294 PS dan 355 Nm, yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan.
Dari segi keselamatan, Carnival Hi Limousine dijangka hadir dengan sistem bantuan pemandu canggih (ADAS) yang sama yang merangkumi ciri-ciri seperti Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Lane Keeping Assist (LKA), Blind-Spot Collision-Avoidance Assist (BCA), Intelligent Speed Limit Assist (ISLA), Smart Cruise Control (SCC) dan bermacam lagi.
Laporan mengatakan bahawa Kia mungkin akan menawarkan enjin diesel pada masa hadapan, selain membangunkan versi empat tempat duduk yang lebih mewah.
No Comment