Lamborghini Huracan STO – Kereta Lumba Untuk Jalan Raya
Sejak ia diperkenalkan buat pertama kali pada 2014, Lamborghini Huracan telah melahirkan beberapa versi sama ada dalam bentuk coupe, ‘convertible’, pacuan semua roda, pacuan roda belakang dan pelbagai lagi. Kini, Lamborghini telah memperkenalkan satu lagi varian dan ia adalah yang paling ekstrem setakat ini.
Dikenali sebagai Super Trofeo Omologata atau STO, varian ini pada asasnya adalah senjata litar yang telah dihomologasikan untuk penggunaan di jalan raya. Menurut Lamborghini, ia diinspirasikan oleh dua kereta lumbanya iaitu Huracan Super Trofeo EVO dan Huracan GT3 EVO.
Huracan STO mempunyai nadi 5.2-liter V10 dengan hamburan kuasa mencecah 640 hp, iaitu 10hp lebih tinggi berbanding Huracan Performante. Bagaimanapun, tork menurun dari 600 Nm kepada 565 Nm.
Dari segi prestasi, supercar pacuan roda belakang ini memerlukan 3.0 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j, 9.0 saat untuk mencapai 200 km/j, dengan kelajuan maksimum 310 km/j. Ia kedengaran hebat tetapi sebenarnya lebih perlahan daripada Performante.
Namun, ia masih mempunyai kelebihan dari segi berat dan aerodinamik berbanding Huracan Performante. 75% daripada panel badannya diperbuat daripada gentian karbon, cermin hadapannya 20% lebih ringan dan rim pula adalah jenis magnesium. Hasilnya adalah pengurangan berat sebanyak 43kg dengan berat keseluruhan hanya 1,339 kg.
Untuk aerodinamik pula, Lamborghini menggabungkan bonet, dapra dan bampar hadapan menjadi satu komponen yang digelar sebagai ‘cofango’. Kaedah ini pernah digunakan pada model Miura dan Sesto Elemento.
Lubang udara pada bonet hadapan meningkatkan aliran udara yang melalui radiator tengah, manakala splitter menghalakan udara ke bahagian bawah badan dan seterusnya ke diffuser. Dapra belakang pula menampilkan lubang udara NACA, manakala skup udara yang terletak di atas bonet enjin membantu penyejukan enjin.
Dengan sirip jerung dan spoiler gentian karbon boleh laras, kecekapan aerodinamik Huracan STO dikatakan meningkat sebanyak 37% manakala ‘downforce’ naik 53%.
Turut dinaik taraf adalah sistem brek, yang kini terdiri daripada cakera karbon seramik Brembo CCM-R. Lamborghini turut menyediakan tiga mod pemanduan baru iaitu STO, Trofeo dan Pioggia (Rain).
Huracan STO akan memasuki pasaran bermula musim bunga tahun hadapan dengan harga bermula dari 249,412 Euro (RM1.2 juta).
No Comment