Lexus LC 500 Sekarang Convertible
Penanda kepada era baru bagi kenderaan prestasi bumbung terbuka (open-top) untuk pasaran tempatan.
Dilancarkan secara rasmi oleh Lexus Malaysia, model ini merupakan penyertaan pertama dari jenama pengeluar mewah Lexus ke dalam segmen kenderaan open-top.
Lexus LC 500 Convertible direka dari awal sebagai sebuah kereta open-top, semua perkara yang perlu diberi perhatian atau diperkukuhkan termasuk ruang barangan telah diperincikan. Model ini kekal setia kepada banyak sentuhan rekaan yang pernah ditampilkan pada kereta konsep LF-FC yang menjadi inspirasinya.
Antara ciri-ciri menarik
Luaran
- Rekaan depan yang rendah dan tajam, lampu projektor LED tiga-tahap serta gril “Spindle” menyempurnakan imej yang sangat dinamik open-top ini
- Belakang, lampu kombinasi LED sepenuhnya, lampu brek ketiga disepadukan di hujung bahagian penutup ruang barangan
- Rim 21-inci yang diperkukuhkan dengan penyudah dua-tona berkilat serta salutan hitam
- Mekanisme lipatan bumbung kuasa hidraulik membolehkan bumbung diturunkan dalam masa 15 saat, manakala dinaikkan semula dalam masa 16 saat
- Bumbung lembut dengan empat lapisan material (tiga lapis fabrik + material NVH) boleh dibuka atau ditutup dalam kelajuan maksima sehingga 50 km/j
- Tambahan berat sebanyak 90 kg berbanding versi coupe-nya
- Ruang barangan 149 liter
- Ditawarkan dalam 11 pilihan warna
- White Nova Glass Flake
- Deep Blue Mica
- Sonic Silver
- Terrane Khaki Mica Metallic
- Naples Yellow Contrast Layering
- Blazing Carnelian Contrast Layering
- Radiant Red Contrast Layering
- Black
- Graphite Black Glass Flake
- Dark Grey Mica
- Sonic Titanium
- Warna bumbung hitam atau biege
Kabin
- Warna dalaman Flare Red, Black dan Ocher.
- Kabin 2+2
- Tempat duduk sport balutan kulit semi-anilinedengan liang d an pemanas; kerusi pemandu dengan larasan elektrik lapan-arah dengan fungsi memori
- Stereng tiga-jejari balutan kulit
- Tombol penukaran gear Takumi.
- Skrin multimedia resolusi tinggi 10.3-inci dengan
- Paparan terpisah Apple CarPlay dan Android Auto
- Paparan lapan-inci Digital Combination Meter
- Heads-Up Display
- 13 pembesar suara Mark Levinson Reference Surround Sound System
Enjin
- 5.0 liter V8
- Transmisi automatik Direct-Shift 10-kelajuan
- Suntikan terus
- Dual Variable Valve Timing- intelligent (DVVT-i)
- Artificial Intelligence Shift Control pada transmisi.
- 470 hp kuasa dan 540 Nm tork
- 0-100 km/j 4.9 saat
- Kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik kepada 270 km/j
- Penggunaan minyak 12.7 L /100 km (gabungan)
Keselamatan
- Lexus Safety System+ (LSS+)
Harga
RM1,350,000 dengan cukai jualan dan perkhidmatan, tidak termasuk insurans. Jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan servis percuma sepanjang tempoh itu atau bagi jarak 100,000 km yang pertama.
Serahan pembelian terawal LC 500 Convertible awal Februari 2021
SIARAN MEDIA
Ketibaan Lexus LC 500 Convertible di Malaysia menjadi penanda kepada era baru bagi kenderaan prestasi dengan binaan bumbung boleh dibuka untuk pasaran tempatan. Dilancarkan secara rasmi oleh Lexus Malaysia, model ini merupakan penyertaan pertama dari jenama pengeluar mewah Lexus ke dalam segmen kenderaan bumbung terbuka yang membawa bersamanya kualiti serta takrifan lebih segar bagi memperkukuhkan barisan penawaran model flagship jenama ini.
Dengan rekaan yang menawan daripada pelbagai sudut, LC 500 menjadi bukti kepada kesungguhan, bukan hanya dari segi rekaan, tetapi juga dari aspek kejuruteraan serta kehalusan buatan pada tahap kualiti terbaik yang dipamerkan oleh Lexus. Ia lebih daripada sekadar sebuah coupe tanpa bumbung; Lexus LC 500 sejak awal lagi dibayangkan sebagai sebuah kereta dengan bumbung terbuka, dan untuk itu, semua perkara yang perlu diberi perhatian atau diperkukuhkan termasuk ruang barangan telah diperincikan sejak dari peringkat rekaan awal.
“Lexus LC 500 menampilkan ciri unik dan khusus yang hanya boleh dikaitkan dengan pemanduan sebuah kereta dengan ciri bumbung terbuka,” jelas Timbalan Pengerusi Lexus Malaysia, Akio Takeyema. “Lengkap dengan prestasi yang dinamik dan pengendalian serta bentuk rekaan yang seksi, model baru ini tidak hanya mementingkan keterujaan pemanduan semata-mata, sebaliknya turut membolehkan pemandu merasa lebih terhubung dengan kereta, jalanan serta persekitaran mereka,” tambah Akio.
Penzahiran kecantikan
Rekaan bumbung terbuka pada LC 500 Convertible telah membolehkan jurutera Lexus untuk melanjutkan lagi erti kemewahan yang diperagakan oleh garis badan sebuah coupe biasa ke satu tahap yang lain. Model ini kekal setia kepada banyak sentuhan rekaan yang pernah ditampilkan pada kereta konsep LF-FC yang menjadi inspirasinya. Rekaan depan yang rendah dan tajam, lampu projektor LED tiga-tahap serta gril “Spindle” menyempurnakan lagi rekaan bumbung terbuka untuk memberikan imej yang sangat dinamik.
Di belakang, lampu kombinasi LED sepenuhnya membantu memberikan kedalaman tersendiri kepada bentuk keseluruhan yang terhasil, sementara lampu brek ketiga yang disepadukan di hujung bahagian penutup ruang barangan untuk menjadikan rekaannya lebih kemas. LC 500 Convertible menggunakan rim 21-inci yang diperkukuhkan dengan penyudah dua-tona berkilat serta salutan hitam yang menyumbang kepada imej masku- lin kereta ini.
Dengan atau tanpa bumbung, LC 500 Convertible memiliki garis lengkung keseluruhan yang menonjol, menepati statusnya sebagai sebuah kereta paling cantik di dunia. Lebih penting, semua itu boleh dicapai dengan mudah melalui satu sentuhan butang sahaja. Mekanisme lipatan bumbung dengan kuasa hidraulik ini juga membolehkan bumbung diturunkan dalam masa 15 saat, manakala dinaikkan semula dalam masa 16 saat.
Bumbung lembut yang digunakan pula terdiri daripada empat lapisan material (tiga lapis fabrik + material NVH) dan boleh dibuka atau ditutup dalam kelajuan maksima sehingga 50 km/j. Penutup khas juga disekalikan untuk melindungi ruang simpanan bumbung setelah dilipat untuk menjadikan penampilan LC 500 Convertible lebih kemas ketika bumbung dibuka.
Lebih menarik, dengan struktur dan mekanisme bumbung yang ringan, ia turut menyumbang kepada aspek dinamik kereta serta mampu menghindari bunyi dan angin daripada menembusi ruang barang mahupun kabin, yang biasanya merupakan impak sekiranya menggunakan bumbung keras. LC 500 Convertible hanya melibatkan tambahan berat sebanyak 90 kg berbanding versi coupe-nya, sementara ruang barangan yang tersedia berkapasiti 149 liter.
LC 500 Convertible ditawarkan dalam pilihan warna White Nova Glass Flake, Deep Blue Mica, Sonic Silver, Terrane Khaki Mica Metallic, Naples Yellow Contrast Layering, Blazing Carnelian Contrast Layering, Radiant Red Contrast Layering, Black, Graphite Black Glass Flake, Dark Grey Mica dan Sonic Titanium dengan pilihan warna untuk bumbung sama ada hitam atau biege. Bagi warna ruang dalaman, LC 500 Convertible menyediakan pilihan antara Flare Red, Black dan Ocher.
Kabin berpaksikan pengguna
Di dalam, LC 500 Convertible mempertemukan teknologi dengan kemewahan bagi menghasilkan sebuah ruang yang canggih dan terperinci. Kabin 2+2 yang ada padanya menggabungkan ciri elegan, keselesaan maksimum dan moden untuk mewujudkan sebuah kokpit yang memberi lebih tumpuan kepada pemandu.
Kokpit juga direka untuk meningkatkan keyakinan kepada pemandu dengan tataletak suis kawalan yang intuitif. Sementara itu, posisi tempat duduk pula membolehkan pemandu melihat dan memerhatikan jalan dengan lebih jelas disebabkan kedudukan bonet serta profil panel instrumen yang lebih rendah. Model ini menampilkan tempat duduk sport balutan kulit semi-aniline yang lengkap dengan liang dan pemanas; kerusi pemandu juga datang dengan larasan elektrik lapan-arah dengan fungsi memori.
Direka untuk keselesaan dan praktikaliti, kereta ini menampilkan stereng tiga-jejari balutan kulit bersama tombol penukaran gear dengan rekaan Takumi. Bagi memenuhi permintaan pemandu moden, LC 500 Convertible datang dengan skrin multimedia resolusi tinggi 10.3-inci dengan paparan terpisah, yang menyediakan capaian segera kepada audio atau kawalan pendingin hawa atau pelbagai sistem lain, termasuk sistem tunjuk arah dengan pengaktifan suara. Sistem ini yang turut disepadukan bersama Apple CarPlay dan Android Auto membolehkan pengguna memaparkan apa yang ada pada telefon mereka ke skrin utama.
Selain prestasi sentiasa menjadi tumpuan, jurutera yang terlibat di dalam pembangunan model ini turut melengkapinya dengan paparan lapan-inci Digital Combination Meter serta Heads-Up Display. Interface sentuhan jarak jauh juga ada tersedia di konsol tengah.
Bagi penggemar audio yang teliti, LC 500 Convertible dimuatkan dengan 13 pembesar suara Mark Levinson Reference Surround Sound System. Dalam berinspirasikan Omotenashi Lexus, sistem ini akan melaraskan secara automatik aspek akustiknya berdasarkan bunyi persekitaran. Tidak kira ketika bumbung dibuka atau ditutup, pengalaman kualiti bunyi yang hebat sentiasa akan dapat dinikmati pemandu dan penumpang.
Jurutera Lexus juga turut menghasilkan rekaan kabin untuk mengurangkan bunyi angin melalui bentuk unik pada beltline serta rekaan bentuk bahagian belakang yang menghalang angin daripada masuk. Sebuah penampan angin lutsinar juga diletakkan di belakang tempat duduk untuk membantu menjadikan kabin lebih senyap sehingga kelajuan mencecah 60 km/j.
Lebih tajam dan teliti
Dengan profil LC 500 Convertible yang berhasil mempertemukan gaya menarik garis bumbung coupe dengan perwatakan sebuah kereta tanpa bumbung yang begitu halus dan teliti, keupayaan sebenar kereta ini melangkaui daripada sekadar “memperagakan” imej tersebut. Melalui pembangunan teknikal yang berterusan, LC 500 Convertible berhasil memberikan dinamik pemanduan yang hampir sama dengan versi coupe, membolehkan pemandu untuk menikmati prestasi kendalian yang sama walaupun sedang berada di dalam sebuah kereta dengan bumbung yang terbuka.
Rahsia yang menyumbang kepada perkara ini terletak pada pendakap struktur, pengukuhan titik kimpal serta penggunaan bahan lekat pada titik temu badan untuk menghasilkan kenderaan yang tahan lasak dan sekali gus menawarkan kestabilan pemanduan.
Suspensi kereta ini juga telah ditala dengan optimum bagi memberikan keselesaan dan pada masa yang sama, menawarkan prestasi dan kepuasan pengendalian. Ciri Adaptive Variable Suspension (AVS) telah diperhalusi untuk melengkapkan lagi rekaan kereta tanpa bumbung, menyediakan sehingga 650 tahap berbeza bagi daya serap.
Pemandu boleh menjangkakan prestasi menakjubkan melalui unit enjin 5.0 liter V8 yang digunakannya. Digandingkan bersama transmisi automatik Direct-Shift 10-kelajuan, enjin suntikan terus ini menghasilkan sebanyak 470 hp kuasa dan 540 Nm tork. Pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 4.9 saat, dengan kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 270 km/j.
Dengan prestasi enjin yang mengkagumkan seperti itu, LC 500 Convertible masih mampu memberikan bacaan penggunaan minyak pada kadar 12.7 L /100 km (gabungan) disebabkab oleh ciri Dual Variable Valve Timing- intelligent (DVVT-i) yang turut digabungkan dengan ciri Artificial Intelligence Shift Control pada transmisi. Ciri pintar ini membantu meramalkan hasrat pemandu dan memilih gear yang sepatutnya untuk memberikan pengalaman pemanduan terbaik.
Keselamatan diutamakan
Faktor keselamatan sentiasa menjadi keutamaan Lexus. Untuk itu, model LC 500 Convertible terbaru ini juga dilengkapi dengan Lexus Safety System+ (LSS+), yang terdiri daripada ciri-ciri keselamatan terkini yang direka untuk menghindari kejadian tidak diingin.
Ini termasuklah sistem pra-perlanggaran, amaran menukar lorong dengan bantuan mengekalkan lorong, kawalan melayar radar dinamik serta lampu tinggi automatik. Kenderaan ini juga dilengkapi dengan enam-beg udara serta peninjau titik buta dan amaran lintasan trafik di belakang sebagai ciri standard.
Sebagai sebuah kereta dengan bumbung boleh buka, model ini datang dengan ciri keselamatan khusus untuk keperluan itu. Paling utama ialah palang olengan aktif yang direka untuk dilanjutkan ke atas sekiranya kenderaan dikesan akan terbalik, sebagai satu langkah sokongan. Akan tetapi, sekiranya berada di dalam situasi yang tidak memerlukan, ia akan disorok dengan kemas daripada pandangan.
“Ketibaan LC 500 Convertible baru ini menunjukkan kesungguhan Lexus Malaysia untuk memberikan yang terbaik dari sudut prestasi, kemewahan dan sisi eksklusif kepada mereka yang menginginkannya. Kereta mewah dengan prestasi luar biasa ini sangat menonjol dengan penampilan seksinya di atas jalan raya,” ujar Presiden Lexus Malaysia, Ravindran K.
Lexus LC 500 Convertible dijual pada harga RM1,350,000 dengan cukai jualan dan perkhidmatan, tidak termasuk insurans. Model ini datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan servis percuma sepanjang tempoh itu atau bagi jarak 100,000 km yang pertama, selagi ia diselenggara oleh juruteknik profesional Lexus yang terlatih di semua Pusat Lexus bertauliah. Serahan pembelian terawal LC 500 Convertible akan dilakukan pada awal Februari 2021.
No Comment