Lumma Design CLR G770 R Adalah G-Wagen Yang Lebih Radikal
Walaupun dalam versi standard, Mercedes-Benz G-Class atau lebih dikenali sebagai G-Wagen mempunyai penampilan yang menggerunkan. Bagaimanapun, Lumma Design ingin membuktikan bahawa mereka boleh menjadikan SUV itu lebih garang dengan rekaan terbaru yang dikenali sebagai CLR G770 R.
Sebagai penjelasan, ia sebenarnya adalah versi R kepada CLR G770 yang diperkenalkan pada tahun lalu. Ia mempunyai rekaan bampar hadapan dan belakang baharu, kemasan gril berpetak-petak serta set lampu tambahan di atas bumbung. Beberapa komponen, termasuk sambungan sayap, kini diperbuat daripada plastik PUR-RIM yang lebih mudah dipasang.
Selain itu, pelanggan juga boleh memilih pakej Performance+ atau Sport+. Pakej Sport+ merangkumi beberapa komponen tambahan seperti pelindung tayar ganti, spoiler bumbung dan skup hud yang besar.
Gerbang roda lebar, yang menambah kelebaran sebanyak 70 mm, dikekalkan bagi memuatkan rim aloi CLR 24 RS berukuran 24 inci yang dibalut tayar bersaiz 295/30 di hadapan dan 355/25 di belakang.
Selain kit badan tersebut, Lumma Design turut menawarkan sistem ekzos sport untuk varian G63. Ia mempunyai dua penyenyap yang dikawal dengan penutup (flap), serta enam muncung yang boleh didatangkan dalam kemasan hitam atau krom. Turut ditawarkan adalah sistem ekzos sport dengan empat muncung untuk varian G350d dan 400d.
Apa pendapat anda? Ya, penampilan radikal yang dibawa oleh CLR G770 R ini mungkin sukar untuk diterima ramai namun tidak dinafikan yang ia mempunyai daya tarikan yang tersendiri.
No Comment