Modenas Elegan 250 Sekarang Dengan ABS Dan Berharga RM15,315
Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), hari ini melancarkan skuter maxi, Modenas Elegan 250 versi ABS.
Harga ialah ini dikatakan harga “value for money” RM15,315.
Antara Ciri-ciri Menarik
- enjin suntikan bahan api
- 4 lejang dan silinder tunggal
- SOHC 250cc
- kuasa maksimum 16.5 kW @ 7000 rpm
- tork 22.4 Nm @ 6500 rpm
- sistem penyejukan cecair
- “speedometer” digital pelbagai fungsi
- peringatan penukaran minyak
- soket pengecas USB
- sistem ABS dua “channel” depan dan belakang
- lampu depan projektor
- lampu siang “Daytime Running Light” (“DRL”) jenis LED
- lampu belakang berbentuk ‘X’
- ruang simpanan bawah tempat duduk boleh muat dua helmet,
- tempat letak kaki dinamik
- dua warna bergaya – Matte Satin Merah dan Matte Satin Hitam
Boleh didapati di semua pengedar sah MODENAS bermula November 2020
SIARAN MEDIA
Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), hari ini melancarkan skuter maxi, Modenas Elegan 250 versi ABS, dengan harga RM15,315, menjadikannya skuter yang memberikan lebih nilai untuk wang yang dibelanjakan atau “value for money” di dalam segmennya.
Walaupun rekabentuk Modenas Elegan 250 ABS yang baru ini mungkin tidak banyak berbeza dengan model sebelum ini namun, varian ini ada menawarkan beberapa ciri-ciri tambahan.
Teknologi baru
Modenas Elegan 250 versi ABS ini dilengkapi dengan enjin suntikan bahan api, 4 lejang dan silinder tunggal, SOHC 250cc yang menghasilkan kuasa maksimum 16.5 kW @ 7000 rpm dan tork 22.4 Nm @ 6500 rpm. Ia mempunyai sistem penyejukan cecair untuk meningkatkan prestasi penyejukan serta memberikan perlindungan dan ketahanan pada enjin.
Modenas Elegan 250 ABS juga menawarkan meter laju atau “speedometer” digital pelbagai fungsi yang memaparkan beberapa maklumat tambahan, seperti, meter perjalanan, jam digital, penunjuk voltan bateri dan terutamanya peringatan penukaran minyak. Di mana beberapa ciri ini tidak didapati pada model-model yang harganya jauh lebih tinggi di pasaran.
Satu lagi ciri yang sangat berguna ialah soket pengecas USB yang dipasang secara strategik di kotak simpan pada papan pemuka, yang membolehkan penunggang mengecas telefon pintar mereka ketika sedang berada di atas jalan atau pada bila-bila masa.
Ciri keselamatan terbaik
Skuter maxi Modenas Elegan 250 baru ini mendapat sistem ABS dua “channel” iaitu di bahagian depan dan belakang, yang mengelakkan roda daripada terkunci dan memberikan daya berhenti yang unggul dalam semua keadaan cuaca.
Ia juga dilengkapi dengan lampu depan projektor yang lebih bergaya dengan lampu nyalaan siang atau “Daytime Running Light” (“DRL”) jenis LED yang membantu penglihatan bagi penunggang dan pengguna jalan raya lain pada bila-bila masa, sementara lampu belakang berbentuk ‘X’ jenis LED memberikan penglihatan yang lebih terang dan mudah dilihat oleh pengguna jalanraya lain semasa menunggang di waktu malam.
Reka Bentuk Premium
Modenas Elegan 250 ABS direka untuk keselesaan dan praktikaliti. Skuter maxi ini menawarkan ruang simpanan bawah tempat duduk yang cukup besar dan boleh memuatkan dua helmet, atau barangan membeli belah; ataupun apa sahaja yang mungkin anda ingin bawa semasa percutian pendek anda. Tempat duduknya memberikan keselesaan tambahan bagi penunggang dan pembonceng, sementara tempat letak kaki direka secara dinamik untuk kedudukan kaki yang lebih fleksibel dan relaks yang menjanjikan keselesaan yang lebih baik dalam semua jenis situasi tunggangan.
Selain daripada peningkatan prestasi dan gaya, Modenas Elegan 250 ABS juga menawarkan perjalanan yang lebih selamat dan selesa dengan kerangka tinggi serta lengan ayun belakang yang memberi tunggangan yang lebih stabil.
Modenas Elegan 250 ABS hadir dalam dua warna bergaya – Matte Satin Merah dan Matte Satin Hitam; dan boleh didapati di semua pengedar sah MODENAS bermula November 2020.
Roslan Roskan, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS menyatakan kegembiraannya memperkenalkan Modenas Elegan 250 ABS yang baru dalam barisan produk Syarikat dan yakin bahawa ia akan memberi impak untuk pasaran motosikal tempatan. Beliau juga optimis terhadap prestasi perniagaan MODENAS disebalik situasi pandemik COVID-19.
“Pelancaran Modenas Elegan 250 ABS ini telah memberikan lebih pilihan kepada pelanggan terutama untuk segmen skuter maxi. Dengan adanya sistem ABS yang merupakan salah satu ciri keselamatan penting pada sebuah motosikal dan ditambah dengan beberapa ciri dan warna baharu, saya yakin ia akan terbukti berjaya di pasaran,” kata Roslan. “Walaupun keadaan COVID-19 masih tidak menentu di negara ini, MODENAS telah bekerja keras selama beberapa bulan terakhir untuk menebus masa yang hilang akibat daripada gangguan pandemik tersebut. Kami merancang untuk melancarkan lebih banyak produk, yang kami percaya akan membantu MODENAS mengakhiri tahun ini dengan kedudukan yang kukuh,” tambahnya.
No Comment