Naran Automotive Perkenal Model Hyper Coupe Dengan 1,048 PS
Naran Automotive merupakan sebuah syarikat ‘startup’ dari United Kingdom yang baru ingin menjejakkan kaki dalam sektor automotif. Namun, tidak seperti kebanyakan ‘startup’ yang lain, mereka tidak berminat untuk menghasilkan kereta elektrik dengan teknologi pemanduan autonomi. Sebaliknya, kereta pertama mereka adalah sebuah hyper coupe yang diinspirasikan oleh jentera lumba GT3.
Hanya dikenali sebagai Naran, kereta tersebut menampilkan susun atur tempat duduk 2+2 dengan enjin 5.0-liter twin-turbo V8 yang diletakkan pada bahagian hadapan (front-mid). Direka oleh Racing Dynamics, enjin tersebut dikatakan mampu menjana 1,048 PS dan 1,036 Nm, membolehkan jentera ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam kurang tiga saat dengan kelajuan maksimum mencecah 370 km/j. Pelanggan boleh memilih antara versi RWD atau AWD.
Selain kuasa, Naran turut meletakkan tumpuan terhadap aspek aerodinamik dan pengendalian. Dengan splitter dan diffuser yang menonjol, bilah aero sisi serta spoiler yang besar, kereta ini mampu menjana ‘downforce’ sehingga 1,377 kg. Untuk perbandingan, Ferrari 488 GT Modificata mampu menghasilkan 1,000 kg ‘downforce’ pada kelajuan 230 km/j.
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem suspensi ‘double wishbone’ boleh laras seperti yang terdapat pada kereta lumba GT3 serta sistem stereng hidraulik. Cakera brek pula adalah jenis karbon seramik, penting bagi memastikan jentera berkuasa tinggi ini mempunyai kuasa membrek yang secukupnya.
Bagaimanapun, Naran bukanlah kereta yang direka sepenuhnya dari mula. Ia menggunakan casis monocoque BMW 8 Series, jadi tidak hairanlah jika anda dapat melihat persamaan antara kedua-dua kereta ini terutamanya dari bahagian sisi. Ia direka oleh pereka Apollo IE dan De Tomaso P72 iaitu Jowyn Wong, manakala pemasangan dilakukan oleh EY3 Engineering di bawah pengawasan Daniel Mense yang terlibat dengan pembangungan Nio EP9.
Hanya 49 unit akan dihasilkan dan setiap unit boleh dikustom mengikut kemahuan pelanggan. Namun apa yang paling menarik adalah pelanggan boleh menamakan jentera ini dengan apa sahaja nama yang disukai. Harga tidak dinyatakan namun ia sudah tentu hanya mampu boleh dibeli oleh golongan elit.
No Comment