Nissan Perkenal Navara ‘Facelift’ Baharu
Nissan secara rasminya telah memperkenalkan Navara baharu yang dihasilkan di Thailand untuk pasaran Asean dan Australia. Selain menampilkan reka bentuk yang lebih gagah dan kelengkapan terkini, trak pikap itu turut mempunyai varian baharu yang dikenali sebagai PRO-4X.
Bahagian hadapan Navara kini menampilkan gril ‘interlock’ yang diperkenalkan buat pertama kali pada model Titan. Gril tersebut diapit oleh lampu projektor LED dengan lampu nyalaan siang berbentuk C. Motif ini juga boleh didapati pada lampu belakang.
Di dalam, terdapat rekaan stereng baharu dan panel instrumen yang direka semula yang menempatkan skrin navigasi berukuran lapan inci dan kluster instrumen TFT tujuh inci. Menurut Nissan, ruang kabin Navara lebih senyap dengan penggunaan lebih banyak bahan penebat bunyi dan cermin yang dilaminasi.
Selain itu, kerusi belakang juga direka semula bagi menjadikan ia lebih selesa. Untuk lebih kemudahan, penumpang di belakang kini boleh menggunakan perehat tangan yang mempunyai pemegang cawan yang boleh digunakan untuk meletak minuman atau telefon.
Varian PRO-4X mempunyai penampilan yang lebih atletik dengan pelbagai komponen berwarna hitam seperti logo, bampar, gril, pemegang pintu, rak bumbung, pemijak sisi serta rim 17 inci yang dibalut tayar off-road. Komponen-komponen ini dikontraskan dengan perincian berwarna oren merah.
Navara akan ditawarkan dengan lapan pilihan warna, termasuk dua warna baharu iaitu Orange Brown dan kelabu yang dikhususkan untuk varian PRO-4X. Ruang dalaman pula boleh didapati dalam warna kelabu, kelabu cerah atau hitam, dengan pilihan upholsteri fabrik atau kulit.
Nissan turut menaik taraf Navara dengan pelbagai sistem bantuan pemandu canggih (ADAS) seperti Intelligent Forward Collision Warning, Intelligent Emergency Braking, Intelligent Driver Alertness, Lane Departure Warning, Intelligent Lane Intervention, Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert.
Pemandu juga boleh memanfaatkan Intelligent Around View Monitor yang menggunakan empat kamera untuk mengesan kehadiran manusia atau kereta apabila hendak memasuki ruang parkir. Buat pertama kalinya, sistem ini mempunyai ciri pemantauan off-road yang membolehkan pemandu melihat halangan dengan lebih mudah.
Untuk sistem infotainmen pula, Navara hadir dengan sistem Nissan Connect yang membolehkan pemandu menyambungkan telefon pintar mereka untuk menggunakan ciri-ciri seperti penistriman audio Bluetooth, pengenalan suara dan navigasi. Port USB termasuk Type C turut disertakan.
Aspek casis turut ditambahbaik bagi mempertingkatkan kemampuan sebenar trak pikap ini. Gandar belakang diperkuatkan manakala isipadu flatbed ditambah bagi membolehkan Navara mengangkut lebih banyak muatan. Anak tangga pada bampar belakang pula memberikan akses mudah ke ruang kargo.
Apabila berada dalam mod pacuan empat roda, Navara akan mengaktifkan sistem Active Brake Limited Slip Differential (ABLS) yang menguruskan penghantaran kuasa dan brek antara gandar hadapan dan belakang, dan roda kiri dan kanan.
Berfungsi dengan kerjasama Vehicle Dynamic Control (VDC) dan ABS, sistem tersebut memberikan lebih keyakinan kepada pemandu apabila sedang menunda muatan berat atau memandu di kawasan berlumpur.
Sistem Trailer Sway Control pula membantu mengekalkan kestabilan kenderaan apabila menunda treler.
No Comment