Perodua Pecah Rekod Jualan Lagi
Perodua berjaya mencatatkan prestasi jualan bulanan tertinggi dengan 26,852 kenderaan pada Oktober 2020, selepas memecahkan rekod jualan bulanan sepanjang sejarahnya sebanyak 25,035 unit pada September 2020.
Daripada jumlah tersebut, 8,052 daripadanya adalah Myvi, 6,738 Axia, 6,895 Bezza, 3,193 Aruz dan 1,974 Alza. Menurut Perodua, tiga model teratas kekal sebagai kenderaan terlaris di Malaysia setakat tahun ini.
“Kejayaan ini penting buat kami kerana ia membuktikan komitmen kami terhadap penghantaran secepat mungkin dan juga peranan kami dalam memulihara ekosistem automotif,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.
Menurut Dato’ Zainal, dalam bulan Oktober sahaja Perodua telah membelanjakan sebanyak RM600 juta untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan. Ini menghasilkan kesan pengganda ekonomi yang besar kepada ekosistem automotif tempatan, yang turut terkesan dengan pandemik.
Ekosistem automotif merangkumi sektor langsung dan tidak langsung, seperti pembekal komponen automotif, pengedar sah, stokis, agensi dan kontraktor. Rakan niaga tidak langsung termasuk institusi kewangan seperti bank dan syarikat insurans.
“Dari segi kapasiti pengeluaran, kami berada di 98% secara purata pada Oktober 2020 dengan 26,362 kenderaan, yang juga merupakan pengeluaran bulanan tertinggi daripada kilang kami di Sungai Choh,” ujar Dato’ Zainal.
Strategi Perodua seterusnya adalah untuk memanfaatkan penawaran nilai dan kualiti dalam produk dan perkhidmatan. Dari segi penyelenggaraan kenderaan, Perodua mempunyai bekalan alat ganti yang mencukupi kerana kebanyakannya dikilang secara tempatan.
No Comment