Pesawat Persendirian Mendarat Cemas di Lebuhraya PLUS
Dalam satu insiden yang agak luar biasa, sebuah pesawat ringan terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Sedenak, Johor pada pagi Ahad, 22 November 2020.
Menurut kenyataan rasmi yang dikeluarkan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Kapten Chester Voo, Menara Kawalan Trafik Udara CAAM Johor telah menerima panggilan pada pukul 10.40 pagi dari juruterbang pesawat yang memohon untuk berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru akibat masalah teknikal. Pesawat persendirian yang dikendalikan oleh Premier Air Singapore itu dalam penerbangan dari Lapangan Terbang Seletar, Singapura ke Melaka.
Pesawat jenis Beechcraft Model 35 Bonanza itu kemudiannya mendarat di lorong kecemasan lebuhraya tersebut tanpa sebarang kerosakan serius. Kedua-dua juruterbang warganegara Singapura berjaya mengelakkan pertembungan dengan pengguna lebuhraya ketika melakukan pendaratan.
Kedua-dua juruterbang tersebut dilaporkan berada dalam keadaan stabil manakala pesawat tersebut dialihkan ke lokasi yang tidak menghalang lalu-lintas lebuhraya. Tambah CAAM, pasukan mencari dan menyelamat telah melakukan semua tugas-tugas yang diperlukan. Insiden ini akan disiasat oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan Malaysia.
Pihak PLUS turut mengesahkan insiden ini. Menurut syarikat pengendali lebuhraya itu, pusat pemantauan trafiknya telah dimaklumkan mengenai kehilangan pesawat dari radar Kawalan Trafik Udara (ATC) Senai pada jam 10.55 pagi.
Pada 10.56 pagi, PLUS telah menerima panggilan dari pengguna lebuhraya mengenai pesawat ringan tersebut, yang dilaporkan telah mendarat di KM47.8 menghala selatan. Pasukan PLUSRonda dikerahkan ke tempat kejadian untuk memberikan bantuan.
No Comment