Proton Jual 11,392 Kereta Pada Oktober 2020, Naik 20% Berbanding Oktober 2019
Proton mengumumkan bahawa mereka berjaya menjual 11,392 unit kenderaan pada Oktober 2020, naik 20% berbanding dengan bulan yang sama tahun lalu tetapi turun 4.6% berbanding dengan bulan September.
Menurut pengeluar kereta nasional itu, jualan keseluruhan bagi 2020 kini mencecah 84,999 unit, menunjukkan peningkatan sebanyak 6.2% berbanding dengan tahun lalu, manakala anggaran pegangan pasaran kini berada pada 21.3%.
Walaupun jualan pada bulan Oktober menurun berbanding dengan bulan lepas, tiga model Proton masih lagi mendahului segmen mereka. Persona mendahului pasaran sedan segmen-B dengan 2,360 unit manakala X70 pula telah mencapai 2,216 unit untuk kekal sebagai SUV terlaris di Malaysia. Exora juga kekal di hadapan pasaran MPV segmen-C dengan 580 unit terjual sepanjang bulan lalu.
“Kami menganggarkan Jumlah Pengeluaran Keseluruhan Industri (TIV) bulan ini akan melebihi 57,000 unit, jumlah kedua tertinggi bagi tahun 2020 dan ini bukti ketara pemulihan industri. Proton amat bersyukur kerana jualan bulanan bertambah berbanding dengan tahun lepas dan penambahan pula amat stabil, tetapi kami yakin boleh mencapai pretasi yang lebih tinggi,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton EDAR.
Bagi X50 pula, Proton telah menerima 24,700 tempahan untuk crossover kompak tersebut setakat akhir Oktober, dengan 447 unit telah pun diserahkan kepada pembeli.
No Comment