Kenderaan Elektrik Kini Mempunyai Satu Juta Pusat Pengecasan Di Seluruh Dunia
Malaysia masih hanya bercerita mengenainya
Ramai yang kata ‘cakap itu senang’ dan di negara kita ianya amat senang sekali kerana sudah bertahun-tahun malah berdekad terdapat banyak perbincangan dari agensi automotif mengenai keperluan untuk membawa tenaga bersih dan pemilikan elektrik bateri kepada rakyat kelas menengah Malaysia.
Ini bermaksud mempunyai tempat pengecasan kenderaan elektrik (EV) di lokasi strategik dan memberikan insentif cukai dan pemilikan kepada rakyat Malaysia kelas menengah untuk membeli dan memandu kenderaan elektrik.
Sehingga kini, kita hanya menyaksikan usaha yang sangat kecil jika dibandingkan dengan kerajaan jiran kita. Pengilang kereta tidak diberi insentif untuk membawa dan menjual EV mereka dan Belanjawan 2021 baru-baru ini adalah petunjuk yang jelas bahawa agensi-agensi automotif yang ‘rajin berusaha menandatangani MOU’ berpaling kepada cara-cara lain. Ya, covid-19 adalah masalah besar, tetapi itu tidak menghentikan Indonesia, Thailand dan Singapura dalam mempromosikan pemilikan EV dan penggunaan tenaga bersih.
Sementara itu, industri kenderaan elektrik di seluruh dunia secara senyap-senyap telah mencapai salah satu tonggak terbesarnya terkini, dengan jumlah pusat pengecasan awam di seluruh dunia sudah melebihi 1 juta.
Angka itu dilewati pada bulan Mei tahun ini, dua kali berlipat ganda dalam tiga tahun, menurut kiraan BloombergNEF baru-baru ini..
Sebilangan besar infrastruktur baharu telah dibina di China dan Eropah. Amerika Utara, dengan kekurangan subsidi dan sokongan awam menduduki di tempat ketiga dalam perlumbaan pusat pengecasan awam, walaupun ada harapan bahawa rancangan rangsangan pandemik akan menjadi pemangkin gelombang baharu pembinaan pusat pengecasan EV.
General Motors akhirnya memutuskan untuk melabur dalam pusat pengecasan, 24 tahun selepas kenderaan elektrik pertama mereka dan dengan pelancaran trak pikap Rivian dan Tesla, lebih banyak lagi akan mendatang.
Pada 14 Julai, Biden mengeluarkan rancangan tenaga bersih bernilai USD2 trilion, termasuk program seperti Cash-for-Clunkers yang bertujuan untuk mendorong orang untuk trade-in kenderaan makan minyak mereka kepada model elektrik.
China kekal paling agresif dalam memulakan ekonomi kenderaan elektriknya, dengan lebih daripada separuh kenderaan EV dunia. Infrastruktur kenderaan elektrik melaju di sana dan di Eropah, Perancis adalah yang memimpin dalam pelaburan rangkaiannya. Kesatuan Eropah baru-baru ini mengumumkan matlamat 1 juta pengecas EV awam menjelang 2025.
BloombergNEF menjangkakan satu daripada 10 kenderaan yang dibeli pada tahun 2025 akan dikuasai bateri dan menjelang tahun 2040, dunia memerlukan sekitar 12 juta titik pengecasan awam dan hampir USD400 bilion dibelanjakan untuk infrastrukturnya. Sudah tentu, pengecas EV yang diperlukan akhirnya akan bergantung kepada berapa banyak kenderaan elektrik yang dibeli dan sebaliknya.
No Comment