Toyota C-HR GR Sport Tampil Dengan Imej, Pengendalian Sporty
Toyota C-HR kini mempunyai varian GR Sport untuk pasaran-pasaran tertentu di Eropah. Ia bukan pakej kecantikan semata-mata kerana model Gazoo Racing ini turut menerima beberapa modifikasi yang melibatkan aspek pengendalian.
Apa yang dimaksudkan adalah talaan khas pada sistem suspensi dan stereng yang dikatakan dapat meningkatkan keupayaan dinamik crossover itu sambil mengekalkan tahap keselesaannya.
Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan rim 19 inci dan tayar Continental Premium Contact 6 bersaiz 225/45 yang memberikan lebih cengkaman yang lebih kuat sekaligus mengurangkan kesan ‘understeer’ semasa membelok.
Apa yang lebih menarik, rim baharu ini bukan sahaja lebih ringan berbanding rim 18 inci sedia ada, malah mempunyai rintangan golek (rolling resistance) dan tahap pelepasan CO2 yang sama.
Dari segi penampilan, C-HR GR Sport mendapat kemasan hitam pada lencana dan perumah lampu utama, penyudah hitam piano pada bahagian tengah bampar hadapan dan keliling lampu kabus, gril berwarna krom hitam dan spoiler hadapan.
Selain itu, terdapat juga kemasan hitam piano pada bahagian bawah pintu, manakala bahagian belakang pula menampilkan kemasan bampar dan logo GR Sport pada bahagian ‘tailgate’. Toyota menawarkan sembilan pilihan skema warna dua tona untuk model ini, termasuk warna Dynamic Grey dengan bumbung hitam.
Di dalam, terdapat kemasan Cool Silver serta pilihan upholsteri Alcantara/kulit atau fabrik. Kedua-duanya dihiasi dengan jahitan kontras merah dan kelabu.
Turut disertakan adalah kemasan kulit berlubang pada stereng, jahitan merah pada stereng dan tuil gear, ‘scuff plate’ GR, logo GR Sport, butang mula/henti GR dan animasi GR pada panel instrumen apabila kereta dihidupkan.
Antara kelengkapan standard yang terdapat pada model ini termasuk cermin privasi, ciri Kemasukan Pintar (Smart Entry), lampu utama LED, cermin sisi boleh lipat automatik. Sementara itu, sistem audio JBL dan ciri pelarasan kuasa dan pemanas tempat duduk hadapan ditawarkan secara pilihan.
No Comment