Toyota Vios Facelift Dibuka Untuk Tempahan
UMW Toyota Motor hari ini mengumumkan pembukaan tempahan untuk Toyota Vios facelift baharu, hanya sehari selepas menyiarkan teaser model itu di laman web mereka.
Seperti sebelum ini, sedan segmen B ini akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu J, E dan G. Harga anggaran (OTR tidak termasuk insurans) selepas pengecualian cukai jualan adalah RM75,701 untuk J, RM85,674 untuk E dan RM89,232 untuk G. Ia didatangkan dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.
Menurut UMWT, aspek keselamatan dan penggayaan merupakan dua perkara penting yang diberi perhatian pada model facelift ini. Seperti yang boleh dilihat, ia tampil dengan gril baharu, kit aero berserta lip hadapan, serta lampu utama LED ‘triple bezel’ dengan lampu nyalaan siang dan ciri Follow-Me-Home yang didatangkan standard pada ketiga-tiga varian.
Untuk keselamatan pula, Vios kini dilengkapi dengan Toyota Safety Sense (TSS) yang terdiri daripada ciri amaran pra-perlanggaran (PCS) serta amaran penukaran lorong (LDA).
PCS diaktifkan dari kelajuan 15 km/j untuk mengurangkan risiko perlanggaran dengan kereta hadapan, dan akan memaklumkan pemandu sekiranya sistem mengesan ada kenderaan dalam jarak perlanggaran serta membantu mengurangkan kelajuan.
LDA pula diaktifkan dari kelajuan 50 km/j dan ke atas, dan akan memaklumkan pemandu sekiranya berlaku pertukaran lorong yang tidak diingini dengan memberikan amaran visual pada paparan Multi-Info Display serta bunyi “beep”. Sistem ini boleh dinyahaktif oleh pemandu.
Kedua-duanya adalah tambahan kepada ciri-ciri keselamatan sedia ada termasuk:
- kawalan kestabilan kenderaan (VSC)
- kawalan cengkaman (TRC)
- kawalan bantuan mula mendaki (HAC)
- peninjau titik buta dengan amaran lintasan trafik di belakang (RCTA)
- sistem brek anti-kunci (ABS)
- agihan daya brek elektronik (EBD)
- bantuan brek (BA)
- perakam video digital di depan dan belakang (DVR).
- tujuh beg udara SRS
Turut disertakan adalah ciri peninjau pandangan panoramik 360-darjah 3D yang membolehkan pemandu memerhatikan keadaan sekeliling kereta dengan lebih mudah.
Sementara itu, sistem infotainmen pula terdiri daripada skrin tujuh inci dengan Android Auto dan Apple CarPlay. Varian G dan E mendapat tambahan sistem telematik kenderaan.
Vios facelift boleh didapati dalam lima warna Dark Blue Metallic, Red Mica Metallic, Silver Metallic dan dua warna baharu, Orange Metallic dan Platinum White Pearl.
Tempahan boleh dilakukan di mana-mana bilik pameran sah Toyota di seluruh negara atau secara dalam talian.
No Comment