Toyota Vios Facelift Diacah, Pelancaran Tidak Lama Lagi
UMW Toyota Motor telah menyiarkan teaser untuk Vios baharu di laman web mereka, menandakan kedatangannya ke pasaran tempatan tidak lama lagi.
Model sedia ada telah berada di pasaran sejak Januari 2019 dengan rekaan serba baharu serta pelbagai penambahbaikan yang melibatkan aspek kelengkapan serta casis. Sebelum itu, Vios dikemaskini pada akhir 2016, di mana enjin dan kotak gear empat kelajuan yang asal digantikan dengan enjin Dual-VVTi dan CVT.
Untuk model 2021, perubahan paling besar boleh dilihat pada bahagian hadapan yang menampilkan gril dan bampar baharu serta lampu reflektor LED dengan lampu nyalaan siang terbina dalam. Gabungan elemen-elemen ini memberikan Vios penampilan yang lebih moden.
Berdasarkan model yang dilancarkan di pasaran lain, seperti Filipina contohnya, tidak banyak perubahan yang diberikan pada sedan segmen B ini selain ‘wajah’ facelift baharu.
Ini bermakna anda boleh menjangkakan spesifikasi yang merangkumi enjin 2NR-FE bersesaran 1.5-liter dengan Dual VVT-i yang dipadankan dengan CVT, enam beg udara, Blind Spot Monitoring, Rear-Cross Traffic Alert, Panoramic View Monitor dan kluster instrumen separa digital untuk model baharu ini.
Vios dipasang di kilang pemasangan Toyota di Bukit Raja, yang merupakan salah satu kilang kereta yang paling moden dan mesra alam di rantau ini. Versi hatchback iaitu Yaris turut dikeluarkan di kilang ini. Setakat ini, tarikh pelancaran masih belum diumumkan namun ada kemungkinan kedua-dua model ini akan dilancarkan serentak menjelang akhir tahun ini. Yaris facelift telah dibuka untuk tempahan manakala orang ramai juga boleh mula mendaftarkan minat untuk Vios ini di laman web Toyota.
No Comment